Sekilas
- Suami seorang pelakon wanita mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu dua lelaki berhubung urusan jual beli tanah kurniaan dan tawaran gelaran Datuk palsu dengan kerugian lebih RM293,000.
- Kedua-dua kes melibatkan penipuan dilakukan antara Januari hingga November 2025 dan tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dan denda.
- Mahkamah menetapkan jaminan RM25,000 dan RM3,000 serta syarat tambahan seperti menyerahkan pasport dan melapor diri setiap bulan sementara menunggu perbicaraan pada April depan.
Suami kepada seorang pelakon wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan urusan penjualan tanah kurniaan tidak wujud membabitkan kerugian lebih RM200,000 tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara dalam talian ke akaun milik seorang wanita berusia 35 tahun untuk mendapat tanah kurniaan negeri Selangor yang tidak wujud.
Tertuduh telah mendorong mangsa menyerahkan wang tersebut yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan terbabit dilakukan pada 2 April 2025 hingga 13 November 2025 di sebuah bank di daerah ini.
Selain itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli atas pertuduhan menipu seorang lelaki berusia 49 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM23,120 bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk yang tidak wujud.
Kesalahan itu dilakukan antara 22 Januari 2025 hingga 9 November 2025 di sebuah pejabat di Seremban 2 di sini.
Kedua-dua pertuduhan didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan denda.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang minimum kerana isterinya tidak bekerja selain perlu menanggung sembilan anak.
Katanya, dia juga menghidap sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan gout.
Mahkamah Sesyen menetapkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin yang bukan isteri tertuduh manakala Mahkamah Majistret RM3,000.
Tertuduh turut diarahkan menyerahkan pasport, melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan hingga kes selesai.
Tarikh sebutan semula kes 15 April depan.
Sebelum inj media melaporkan tertuduh dengan pelakon wanita itu ditahan untuk siasatan berhubung kes penipuan penjualan tanah lot kurnia membabitkan kerugian RM1.5 juta.
Beberapa hari selepas itu polis daerah ini memaklumkan tertuduh turut disiasat berkaitan kes tipu tawaran Datuk sebelum disiasat pula oleh polis Kuala Lumpur berhubung kes tipu pelaburan lembu.
Sumber: Sinar Harian