Sekilas
- Datuk Aishah terima banyak aduan peminat gagal dapat tiket konsert sejak jualan dibuka 17 April lalu akibat masalah sistem yang disyaki sabotaj.
- Pihak pengurusan telah tukar platform tiket ke ticketmelon.com untuk selesaikan kekeliruan dan mudahkan pembelian tiket peminat.
- Konsert Aishah 40 Chapters Of Love akan diadakan sebagai sambutan 40 tahun penglibatan Aishah dalam industri muzik tanah air.
Penyanyi, Datuk Aishah mendedahkan menerima banyak aduan daripada peminat kerana gagal mendapatkan tiket sejak jualan mula dibuka sejak 17 April lalu.
Menurut Aisha atau nama lengkapnya, Wan Aisha Wan Ariffin, pihaknya terpaksa beralih ke platform lain berikutan kegagalan sistem pada platform terdahulu yang didakwa seolah-olah disabotaj.
“Ketika mula-mula dapat tahu, saya menangis sebab kami dah bekerja keras untuk konsert ini terutama pihak pengurusan. Saya dapat tahu mengenai perkara itu daripada rakan-rakan dan peminat dalam senarai kenalan yang gagal mendapat tiket ketika jualan tiket dibuka.
“Mereka terpaksa menunggu dalam barisan selama berjam-jam, namun sebaik sahaja berjaya masuk, skrin memaparkan notis tiket sudah habis dijual.
“Bertahun saya menyimpan impian mengadakan konsert, bila jadi begini tentulah saya terkejut. Namun, saya percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan pasti da rahmat di sebalik semuanya,” katanya ditemui di Majlis Sidang Media Konsert Aishah 40 Chapters Of Love.
Pelantun lagu Janji Manismu itu turut menegaskan kemungkinan wujudnya unsur penipuan dalam sistem tersebut.
"Kalau betul tiket habis, alhamdulillah. Tetapi dalam kes ini, tiket sebenarnya masih ada. Jika selepas ini terbukti ada pihak yang sengaja melakukan perkara tidak bertanggungjawab sehingga boleh disaman, tahulah saya apa nak buat nanti," ujarnya.
Mengulas lanjut, Aishah menjelaskan bahawa pihak pengurusan tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak.
Sebaliknya, fokus utama mereka adalah untuk menyelesaikan kekeliruan yang berlaku dalam kalangan peminat.
"Kami tidak mahu menuding jari kepada sesiapa. Apa yang penting sekarang adalah menjelaskan kekeliruan ini kepada peminat. Ramai yang menghubungi saya bertanya bagaimana mahu membeli tiket sedangkan sistem menunjukkan ia sudah habis.
"Justeru, saya memohon bantuan rakan-rakan media untuk menghebahkan semula bahawa kami telah menukar vendor tiket kepada platform baharu iaitu ticketmelon.com. Peminat yang terjejas sebelum ini boleh melayari laman web tersebut untuk urusan pembelian yang lebih lancar," tambahnya.
Konsert Aishah 40 Chapters Of Love dijadualkan berlangsung sebagai sambutan empat dekad penglibatan seni penyanyi legenda itu dalam industri muzik tanah air.