Sekilas
- Pelakon veteran Harun Hashim kini hidup sunyi selepas pemergian isteri tercinta akibat kanser paru-paru.
- Walaupun anak-anak mengajak tinggal bersama, Harun lebih selesa hidup bersendirian tanpa gangguan.
- Harun pernah terfikir untuk berkahwin lagi sebagai teman hidup dan untuk memastikan ada yang tahu jika sesuatu berlaku kepadanya.
Selepas pemergian isteri tercinta akibat kanser, pelakon veteran Harun Hashim akui kehidupannya kini semakin sunyi.
Menurut Harun, anak-anaknya ada meminta dirinya untuk tinggal bersama namun dia lebih selesa untuk hidup bersendirian tanpa sebarang gangguan.
"Saya akui hidup memang sunyi sebab dulu ada arwah isteri tetapi sekarang saya tinggal sendirian.
"Anak ada ajak saya tinggal bersama mereka. Cuma saya yang lebih suka hidup sendirian sebab tidak ada gangguan," katanya kepada Gempak.
Harun berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Next Level Gabungan mStar, Suria dan Kuali di Saloma Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Harun akui pernah terdetik untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi bagi peneman hidup hingga akhir hayatnya.
"Kalau saya nak berkahwin lagi pun, selain nak ada teman, bila saya mati nanti, dia (isteri) dapat beritahu pada orang.
"Ada terfikir juga, macam mana bila jasad sudah tiga empat hari dalam rumah dan tiada orang nak beritahu?," ujarnya.
Untuk rekod, isteri Harun iaitu Allahyarham Sakinah Ganjali menghembuskan nafas terakhir pada usia 48 tahun pada 20 November 2024 akibat kanser payu dara tahap empat.