Ringkasan AI
- Buku Bangkit Semula: Memoir Warga Yayasan Anda Akademik mengisahkan sejarah dan perjuangan pendidikan rakyat di Yayasan Anda Akademik (YAA).
- Ia dihimpunkan daripada lebih 40 penulis dari pelbagai generasi yang berkongsi pengalaman sebagai guru, pelajar dan pentadbir di YAA.
- Catatan aluan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim menonjolkan nilai idealisme dan kemanusiaan dalam pendidikan di YAA.
- Buku ini memaparkan kisah benar tentang peluang kedua dan kebangkitan mereka yang pernah gagal dalam sistem pendidikan arus perdana.
- Bangkit Semula mengingatkan semangat pendidikan rakyat yang masih relevan dan boleh didapati pada harga RM80 melalui PAYAAM dan Unisel Press.
Sebuah buku baru berjudul Bangkit Semula: Memoir Warga Yayasan Anda Akademik sedang mencuri perhatian dunia pendidikan dan budaya tempatan.
Diterbitkan bersama oleh Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik (PAYAAM), Yayasan Penataran Ilmu (YPI) dan Penerbit Unisel, buku ini bukan sekadar catatan sejarah tetapi kisah tentang harapan, perjuangan dan kebangkitan generasi yang pernah menimba ilmu di institusi rakyat unik bernama Yayasan Anda Akademik (YAA).
Kalau anda sukakan kisah inspirasi pendidikan, idealisme anak muda dan perjuangan melawan keterbatasan, ini 5 sebab kenapa buku Bangkit Semula patut ada dalam koleksi anda.
1. Ia lahir daripada sejarah sebenar pendidikan rakyat
YAA bukan sekolah biasa. Ia diasaskan pada tahun 1971 oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama rakan-rakan mahasiswa ketika zaman idealisme muda, satu gerakan untuk memberi peluang kedua kepada pelajar yang tercicir daripada sistem pendidikan arus perdana.
“Yayasan Anda bukan sekadar sekolah, tetapi madrasah ilmu dan perjuangan, tempat anak muda belajar menjadi manusia yang berjiwa merdeka,” tulis Anwar dalam kata aluannya.
Buku ini membawa pembaca menelusuri sejarah itu dengan suara sebenar mereka yang hidup di dalamnya.
2. Dihimpunkan oleh lebih 40 penulis dari pelbagai generasi
Bayangkan membaca satu buku yang menghimpunkan kisah guru, pelajar dan pentadbir dari generasi berbeza semuanya berkongsi kenangan, cabaran dan kemenangan kecil mereka di YAA.
“Setiap daripada kami datang dari latar yang berbeza, tapi di sinilah kami belajar erti kehidupan, kasih dan kebangkitan,” tulis salah seorang alumni, mengimbau zaman sekolah yang penuh idealisme dan kebersamaan.
Dari bab pertama hingga terakhir, setiap tulisan membawa perspektif tersendiri tentang erti perjuangan, keikhlasan dan pendidikan berjiwa.
3. Ada sisi peribadi Perdana Menteri yang jarang dibaca
Menariknya, buku ini turut menampilkan catatan aluan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Beliau menulis tentang bagaimana YAA dibina sebagai madrasah ilmu dan perjuangan, bukan sekadar tempat belajar.
“Pendidikan bukan sekadar untuk mencari pekerjaan, tetapi untuk membentuk manusia yang berani berfikir dan berani memperjuangkan kebenaran,” tulisnya.
Sisi idealisme dan nilai kemanusiaan dalam catatan beliau memberi makna tersendiri kepada keseluruhan memoir ini.

4. Sarat kisah benar tentang kebangkitan dan peluang kedua
Ramai penulis dalam buku ini pernah melalui jalan hidup yang sukar, ada yang gagal dalam pelajaran, ada yang datang dari keluarga miskin, dan ada yang hampir berputus asa.
Tapi di YAA, mereka diberi ruang untuk bermula semula.
“Di sinilah kami belajar bahawa kegagalan bukan noktah, tetapi permulaan kepada kebangkitan,” kongsi seorang bekas pelajar.
Buku ini menunjukkan bagaimana pendidikan yang berasaskan kasih, kesukarelawanan dan nilai boleh mengubah hidup seseorang.

5. Inspirasi zaman kini
Bangkit Semula bukan sekadar imbasan masa lalu. Ia mengingatkan kita bahawa semangat pendidikan rakyat masih relevan hari ini. Dalam dunia moden yang semakin berorientasi keuntungan, buku ini mengingatkan semula bahawa pendidikan sebenar datang daripada niat dan jiwa.
“Selagi ada semangat untuk belajar dan mengajar, semangat Yayasan Anda tidak akan mati,” kata Presiden PAYAAM, Dato’ Dr Suhaimi Ibrahim dalam majlis pelancarannya di Unisel Shah Alam.
Buku Bangkit Semula: Memoir Warga Yayasan Anda Akademik kini boleh didapati melalui PAYAAM dan Unisel Press pada harga RM80.

Untuk mereka yang percaya bahawa ilmu mampu membangunkan bangsa dan jiwa manusia, buku ini bukan sekadar bacaan, ia sebuah peringatan tentang apa makna sebenar untuk bangkit semula.