Ringkasan AI
- Program realiti INNOVATHON kembali untuk musim ketiga dengan penyertaan meningkat dua kali ganda kepada 2,032 peserta.
- Nilai hadiah Dana Sokongan Pembangunan Perniagaan dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM1.65 juta tahun ini.
- Uji bakat diadakan secara bersasar di lima lokasi utama dan sesi terbuka di enam zon seluruh Malaysia bermula Jun hingga Ogos 2025.
- Juara INNOVATHON akan membawa pulang RM100,000 tunai dan RM500,000 Dana Sokongan Perniagaan, dengan hadiah menarik untuk tempat lain juga.
- Program ini akan disiarkan dalam lapan episod di Astro Ria dan TV1 mulai Disember 2025, menampilkan hos Amelia Henderson dan Awal Ashaari.
Program realiti inovasi, INNOVATHON, kembali untuk musim ketiga dengan skala yang lebih besar dan penyertaan dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pihaknya telah meningkatkan nilai hadiah keseluruhan bagi Dana Sokongan Pembangunan Perniagaan daripada RM1.0 juta kepada RM1.65 juta pada tahun ini.
Perkara tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh semangat inovasi rakyat Malaysia.
“Langkah ini selaras dengan keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan strategi Pemantapan Ekosistem Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) bagi meningkatkan daya cipta serta kerencaman ekonomi negara,” katanya.
Tambah Datuk Seri Amir Hamzah, objektif utama program ini adalah untuk membudayakan inovasi di seluruh negara, sekali gus menarik pelbagai lapisan masyarakat untuk menghargai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Program ini juga bertujuan merangsang pelaburan sektor swasta dalam aktiviti inovasi melalui sokongan kepada syarikat pemula (start-up), selain melonjakkan jumlah pendaftaran harta intelek daripada pereka cipta tempatan,” jelasnya.
Sidang media pelancaran program berkenaan disempurnakan oleh Menteri Ekonomi, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Saloma Kuala Lumpur, hari ini.
Jumlah penyertaan pada tahun ini adalah sebanyak 2,032 berbanding 1,003 pada tahun 2024 iaitu peningkatan lebih daripada 100%.
Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia semakin berani tampil ke hadapan untuk memperagakan produk-produk inovasi keluaran tempatan yang bermutu tinggi, berkualiti dan mempunyai impak yang besar kepada masyarakat.
Uji bakat bersasar di lima lokasi utama
Musim ketiga ini menampilkan kelainan dengan pelaksanaan uji bakat secara bersasar di lima lokasi utama, iaitu di Cradle Fund Sdn. Bhd., National Institute of Health (NIH), UiTM Melaka, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu, serta Universiti Putra Malaysia (UPM). Sesi uji bakat terbuka pula diadakan di enam zon seluruh Malaysia bermula 10 Jun hingga 5 Ogos 2025, merangkumi Kuala Lumpur, Johor, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Hadiah lumayan menanti peserta
INNOVATHON Musim Ketiga menawarkan hadiah yang lumayan kepada peserta. Juara program bakal membawa pulang RM100,000 wang tunai serta RM500,000 Dana Sokongan Perniagaan, manakala tempat kedua menerima RM80,000 dan RM400,000 Dana Sokongan Perniagaan.
Tempat ketiga pula membawa pulang RM50,000 dan RM300,000 Dana Sokongan Perniagaan, diikuti tempat keempat dengan RM10,000 dan RM250,000 Dana Sokongan Perniagaan, manakala tempat kelima menerima RM5,000 dan RM200,000 Dana Sokongan Perniagaan.
Selain itu, peserta yang menduduki tempat keenam hingga kelapan bakal menerima piala saguhati.
Sebanyak lapan episod INNOVATHON Musim Ketiga akan mula bersiaran pada 6 Disember 2025 hingga 25 Januari 2026 di Astro Ria, selain turut disiarkan di TV1, RTM seperti musim sebelumnya. Program ini menampilkan semula Amelia Henderson dan Awal Ashaari sebagai hos utama.
Sejak diperkenalkan, INNOVATHON berjaya melahirkan personaliti dalam bidang inovasi, membantu pemasaran produk peserta dan menjadi jambatan antara inovator serta pelabur tempatan.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Dato’ Nor Azmie bin Diron, dan Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Ham Hj. Ahmad, bersama pegawai kanan kedua-dua kementerian.