Sekilas
- Ameng Spring berkongsi bahawa Jamal Abdillah pernah cuba membantunya dengan membayar wang jaminan ketika dia dipenjara, namun tidak dibenarkan kerana kesnya tidak boleh dijamin.
- Jamal menunjukkan keprihatinan tinggi dengan datang ke penjara dan berusaha membantu Ameng keluar lebih awal.
- Ameng pernah dipenjara kerana kesalahan dadah dari 2011 hingga 2016 dan kini kembali aktif serta diterima dalam industri muzik tanah air.
Penyanyi Ameng Spring mengenang jasa, Raja Pop Negara Jamal Abdillah yang pernah cuba membantunya ketika berdepan detik sukar dalam hidup.
Menerusi sesi siaran langsung di TikTok bersama anak Jamal, Zaki Yamani, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 57, berkongsi bahawa Jamal pernah datang ke penjara dengan niat untuk membayar wang jaminan agar dia dapat dibebaskan.
“Bapa awak datang penjara, bawa duit nak jamin saya. Dia nak saya keluar cepat sampai begitu sekali, dia sangat prihatin. Bapa awak tu baik tau,” ujarnya.
Bagaimanapun, hasrat Jamal untuk membantu tidak kesampaian kerana kes yang dihadapi Ameng ketika itu tidak dibenarkan untuk ikat jamin.
“Dia tanya pengarah (pihak penjara), Ameng Spring ni boleh jamin tak? Tapi kes saya tak boleh jamin. Bapa awak kata, ‘Ameng setiap kali aku nampak kau, aku teringat diri aku yang dulu,”katanya.
Sekadar info, Ameng pernah dihukum penjara kerana kesalahan dadah pada tahun 2011 sebelum dibebaskan pada tahun 2016.
Sejak dibebaskan, Ameng kembali mendapat nafas baru selepas mula mendapat tempat di dalam industri dan mula diterima baik oleh peminat muzik tanah air.