Sekilas
- Aktor Jepun Nijiro Murakami didakwa melakukan keganasan terhadap bekas kekasihnya di Tokyo pada tahun 2024, menyebabkan kecederaan serius.
- Murakami mengaku mencederakan mangsa, namun belum ada kenyataan rasmi daripada pelakon atau agensinya setakat ini.
- Kontroversi ini muncul ketika Murakami dijadual menghadiri tayangan perdana drama baru, menimbulkan reaksi kecewa daripada peminat di media sosial.
Aktor Jepun Nijiro Murakami, yang dikenali menerusi wataknya sebagai Chishiya dalam siri popular Netflix Alice in Borderland, berdepan dakwaan melakukan keganasan atau memukul bekas kekasihnya sehingga mengalami kecederaan serius sekitar dua tahun lalu.
Menerusi laporan media Jepun, kes berkenaan telah diserahkan kepada pihak pendakwa raya selepas seorang wanita yang juga bekas pasangannya membuat laporan mendakwa menjadi mangsa keganasan ketika mereka tinggal bersama di sebuah kediaman di Shibuya, Tokyo pada tahun 2024.

Difahamkan, wanita berkenaan telah mendapatkan bantuan daripada Jabatan Polis Metropolitan Tokyo sejak awal tahun ini berhubung insiden tersebut.
Laporan turut mendakwa Murakami mengakui telah mencederakan mangsa, namun sehingga kini pelakon berusia 29 tahun itu mahupun agensinya masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi kepada umum.
Menurut Nikkan Sports, Murakami didakwa menarik rambut mangsa, menghentakkan kepalanya ke arah tingkap serta menumbuk bahagian muka sehingga menyebabkan kecederaan serius.
Wanita itu dilaporkan mengambil masa lebih sebulan untuk pulih.

Murakami merupakan anak kepada pelakon Jun Murakami dan penyanyi UA. Namanya melonjak di peringkat antarabangsa menerusi siri Alice in Borderland, selain membintangi drama Come Come Everybody.
Dia pernah berehat sebentar daripada dunia lakonan kerana berdepan masalah kesihatan mental dan fizikal pada tahun 2023.
Bintang itu kemudian kembali aktif pada tahun 2025 menerusi drama kerjasama Singapura-Jepun berjudul Lost and Found.
Bagaimanapun, kontroversi terbaharu itu dilihat memberi kesan terhadap reputasinya apabila ramai peminat meluahkan rasa kecewa di media sosial.
Ironi, saat berita kontroversi ini tersebar, Murakami dijadual menghadiri tayangan perdana Strange – Junji Ito's Strange Stories That Keep You Up at Night pada 3 Julai depan.