Sekilas
- Azeva Natassha menafikan dakwaan melakukan pembedahan plastik dan menegaskan hidungnya yang mancung adalah asli serta warisan daripada ibunya, Datuk A. Aida.
- Azeva kini menjadi hos baharu Big Stage X Rocketfuel bersama Nabil Ahmad dan menganggap ini cabaran baru dalam kerjayanya sebagai pengacara siaran langsung.
- Big Stage X Rocketfuel menampilkan 11 peserta yang akan bersaing selama lapan minggu dengan hadiah utama kontrak pembangunan artis bernilai sehingga RM200,000.
Penyanyi dan pengacara Big Stage X Rocketfuel, Azeva Natassha menepis dakwaan segelintir pihak yang mendakwa dirinya melakukan pembedahan plastik bagi mendapatkan bentuk hidung yang lebih mancung.
Menurut Azeva atau Azeva Natassha Wan Aminuddin, mengakui dia sering diajukan mengenai perkara itu dan dalam masa yang sama menegaskan bahawa bentuk hidungnya itu sememangnya asli.
“Orang selalu tanya kenapa sering gosok hidung sehingga ada yang persoalkan sama ada saya buat hidung atau tidak.
“Cuba tengok hidung saya ini, macam burung belatuk (paruh).
“Kalau saya buat, pastinya nak hidung seperti anak patung Barbie,” katanya kepada Gempak.
Azeva berkongsi perkara tersebut ketika ditemui usai konsert minggu pertama Big Stage X Rocketfuel bertempat di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Tambah finalis program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) itu, bentuk hidungnya yang mancung merupakan warisan daripada ibunya yang juga pengarah dan penerbit terkenal, Datuk A. Aida.
“Apa pun, hidung mancung ini adalah dari keturunan mama saya.
“Tengoklah mama saya, cantik macam mana pula.
“Saya memang tidak melakukan sebarang pembedahan buat hidung, janji,” katanya lagi.
Ditanya mengenai perasaan dipilih sebagai hos Big Stage X Rocketfuel, Azeva mengakui masih gementar namun menganggap ianya sebagai satu cabaran baharu dalam kerjayanya.
“Kalau cakap takut, pasti ada perasaan itu sebab ini kali pertama saya mengacara untuk program siaran langsung.
“Ketika terpilih jadi pengacara Big Stage pun agak terkejut sebab waktu itu masih bertanding Talk To My Manager 2.
“Apapun, saya sahut tawaran tersebut dan anggap ini satu cabaran baru. Ingatkan hanya menyanyi tetapi tak sangka pula orang akan panggil saya untuk jadi pengacara,” jelasnya.
Terdahulu, Azeva diumumkan sebagai hos baharu Big Stage X Rocketfuel dan bergandingan bersama Nabil Ahmad dan menerima reaksi positif daripada penonton.
Untuk edisi kali ini, para peserta bakal berentap sepanjang lapan minggu dengan tiga pemenang utama bakal menerima Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 secara keseluruhan.
Hadiah itu merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.
Seramai 11 peserta bakal bersaing pada musim ini terdiri daripada Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina, duo Adam & Nazmie serta finalis TTMM2 iaitu Hussain yang dipilih menerusi ‘Exclusive Spot’.
Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva, jangan lupa untuk saksikan Big Stage X Rocketfuel setiap hari Ahad pada jam 9 malam di Astro Ria serta strim episod penuh menerusi Astro GO dan Sooka.