Sekilas
- Nubhan berkongsi keadaan terkini ibunya, Mak Jenny, yang kini terlantar akibat masalah kesihatan yang semakin merosot.
- Dia memuat naik video kenangan ketika ibunya masih sihat dan meluahkan kerinduan terhadap momen indah bersama ibu tersayang.
- Nubhan memohon doa daripada orang ramai agar Mak Jenny cepat sembuh dan kembali sihat seperti dahulu.
Penyanyi dan usahawan, Nubhan menyorot perhatian apabila berkongsi keadaan terkini ibunya, Mak Jenny, yang kini sedang berdepan dengan masalah kesihatan.
Menerusi perkongsian di TikTok, Nubhan berkata dia tidak menyangka ibunya yang disifatkan sentiasa sihat akhirnya diuji dengan masalah kesihatan sehingga terlantar.
Menerusi perkongsian yang sama, pelantun lagu Oh Juwita itu turut memuat naik video kenangan sewaktu ibunya masih sihat dan aktif satu ketika dahulu.
“Dulu saya selalu ingat, mak akan kekal macam ni selamanya. Masih mampu berjalan, masih mampu ketawa, masih mampu bergurau dengan kami.
“Rupa-rupanya Allah hanya meminjamkan saat-saat tu supaya satu hari nanti, bila saya lihat kembali semua kenangan ni, saya tahu betapa berharganya nikmat mempunyai seorang ibu yang sihat, dan betapa cepatnya masa mengubah segala-galanya,” luahnya.
Bercerita lanjut, bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima itu memaklumkan bahawa keadaan kesihatan ibunya yang semakin merosot itu merupakan detik sukar untuk diterimanya sebagai seorang anak.
“Inilah bahagian yang paling saya tak sanggup tengok, dan bahagian yang paling saya tak suka untuk ingat balik. Sebab, kat sinilah bermula semuanya.
“Kesihatan mak perlahan-lahan merosot. Daripada seorang wanita yang sentiasa aktif, yang sentiasa menjadi penguat keluarga sekarang, hospital mula jadi tempat yang kerap kami pergi.
“Rawatan demi rawatan, dan sejak hari tu, saya mula sedar… tiada siapa yang akan kekal kuat selama-lamanya,” luahnya lagi.
Dalam masa sama, penyanyi itu turut meluahkan kerinduannya terhadap momen-momen indah bersama ibunya ketika masih sihat.
Nubhan turut memohon orang ramai untuk terus mendoakan agar ibunya kembali sembuh sedia kala.
“Orang selalu cakap, selagi mak masih ada, kita masih ada tempat untuk pulang. Hari ini, saya masih pulang tapi, saya dah tak boleh pulang kepada mak yang dulu. Mak yang menyambut saya dengan senyuman, mak yang sibuk bertanya, ‘Dah makan?’
“Sekarang saya cuma mampu memandang wajah mak, dan berdoa dalam diam. Ya Allah, jangan ambil senyuman mak, sebelum sempat saya membahagiakannya sekali lagi.
“Inilah keadaan Mak Jenny sekarang. Doakan Mak Jenny sembuh, ya. Dia hanya terbaring,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mendoakan agar Mak Jenny kembali sihat seperti sediakala.
Sumber: TikTok