Sekilas
- Pelakon Fathia Latiff menyuarakan sokongan dan kata-kata semangat kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, yang sedang menghadapi tempoh mencabar.
- Fathia berharap Syed Saddiq terus bersabar dan yakin dengan proses keadilan walaupun keputusan rayuan akhir ditangguhkan akibat ketidakhadiran seorang hakim.
- Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada empat pertuduhan, namun Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Pelakon, Fathia Latiff menzahirkan sokongan dan kata-kata semangat buat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kini berdepan tempoh mencabar.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Fathia berharap Syed Saddiq terus bersabar dan kekal tabah dalam menghadapi segala dugaan yang sedang dilaluinya.
"Saya benar-benar berharap Syed Saddiq terus bersabar dan kekal kuat dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini.
“Kelewatan dan perkara yang tidak dijangka sememangnya boleh mendatangkan rasa kecewa, namun saya berharap beliau terus yakin dengan proses keadilan serta diberikan kekuatan untuk terus bertahan sehingga segala urusan ini diselesaikan,” tulisnya.
Terdahulu, Syed Saddiq tiba kira-kira pukul 8.50 pagi bagi mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadapnya yang disampaikan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan; Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Bagaimanpaun, Datuk Seri Abu Bakar memaklumkan mahkamah menangguhkan keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap Syed Saddiq berikutan seorang daripada hakim dalam panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, bercuti sakit selama dua hari.
Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada empat pertuduhan itu selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan itu.