Sekilas
- Aisha Retno, juri tetap Big Stage Rocketfuel, memberi markah sewajarnya berdasarkan usaha dan kualiti persembahan peserta pada minggu pertama.
- Walaupun markah diberi secara murah, Aisha tetap memberikan komen membina untuk membantu peserta memperbaiki prestasi mereka.
- Aspek utama yang perlu dipertingkatkan oleh semua peserta adalah keyakinan diri dalam memilih lagu, genre, dan keberanian mengimprovisasi persembahan.
Juri tetap Big Stage Rocketfuel (BSR), Aisha Retno mengakui cuba memberi markah yang sewajarnya buat semua bintang yang bertanding.
Kata Aisha, dia bersifat pemurah kepada setiap bintang selepas melihat usaha dan kualiti persembahan yang ditunjukkan oleh mereka untuk minggu pertama.
“Pemurah markah? Okey, minggu pertama boleh dikatakan kalau peserta itu tak begitu bagus pun saya masih bagi markah yang sewajarnya.
“Bagi saya, kalau saya nampak usaha mereka memang baik, saya akan beri markah. Setakat ini, semua markah yang saya beri memang berdasarkan apa yang mereka tunjukkan di atas pentas,” katanya kepada Gempak.
Tambah Aisha, caranya mengadili setiap peserta perlu seimbang sepanjang pertandingan.
Meskipun memberi markah yang banyak tidak semestinya peserta itu terlepas daripada mendapat komen membina daripadanya.
“Mungkin saya murah bagi markah, tetapi dalam berkata-kata saya tak murah. Mungkin minggu depan saya akan lebih santai ketika memberi komen, tetapi markah pula mungkin sedikit berbeza. Kita tengok macam mana nanti.
“Bagi saya, perlu ada keseimbangan kerana saya faham mereka bukan hanya bekerja pada hari persembahan. Mereka berlatih dari Isnin hingga Ahad, menghadiri latihan vokal, tarian dan pelbagai sesi persediaan.
“Saya pernah berada di tempat mereka, sebab itu saya faham usaha yang dicurahkan. Jadi saya rasa semua peserta memang layak menerima markah yang diberikan pada malam ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aisha berkata, secara keseluruhannya masih terdapat satu aspek utama yang perlu dipertingkatkan oleh kesemua 11 peserta iaitu keyakinan diri.
“Kalau saya nak rumuskan, semua 11 peserta masih perlu meningkatkan keyakinan diri.
“Bukan sahaja keyakinan ketika membuat persembahan, tetapi juga keyakinan memilih lagu, memilih genre, menentukan key yang sesuai dan keberanian untuk mengimprovisasikan sesebuah lagu. Itu yang saya masih belum nampak pada minggu pertama,” katanya.
Bagaimanapun, Aisha memahami minggu pertama hanyalah sesi pemanasan dan berharap semua peserta akan tampil lebih berani serta menyerlah pada konsert minggu kedua.
“Saya faham ini baru minggu pemanasan. Insya-Allah minggu kedua nanti saya harap semua peserta akan tampil lebih 'extra' dan berani menunjukkan kemampuan sebenar mereka,” katanya.