Sekilas
- Penyanyi Indonesia, Nadhif Basalamah, meluahkan rasa kecewa selepas menjadi mangsa gangguan dalam talian berterusan di platform X dan TikTok.
- Dia menegaskan tidak mempunyai masalah dengan mana-mana komuniti dan menghormati semua pihak, malah mempunyai ramai kenalan daripada komuniti tersebut.
- Nadhif berkongsi situasi ini untuk memberi konteks mengapa dia akhirnya memilih untuk bersuara dan merayu agar gangguan dalam talian dihentikan.
Penyanyi Indonesia, Nadhif Basalamah meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa menjadi mangsa gangguan dalam talian secara berterusan di platform X dan TikTok.
Menerusi satu hantaran, Nadhif mengakui dirinya berasa gementar untuk bersuara, namun merasakan sudah tiba masanya untuk menjelaskan perkara sebenar kepada orang ramai.
"Saya tidak tahu sama ada tindakan ini betul atau tidak, dan saya sebenarnya menggigil ketika menaip kenyataan ini. Tetapi jumlah gangguan yang saya terima di X dan TikTok sudah benar-benar tidak tertanggung.
"Kalau orang kata ini adalah harga yang perlu dibayar sebagai seorang figura awam, saya lebih rela berhenti," tulisnya.
Menurut pelantun lagu Bergema Sampai Selamanya itu, dia sama sekali tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana komuniti yang sering dikaitkan dengannya.
Sebaliknya, Nadhif menegaskan dia menghormati semua orang dan mempunyai ramai kenalan daripada komuniti tersebut.
"Saya bukan anti, juga bukan sekutu kepada mana-mana pihak. Tetapi saya mempunyai ramai rakan daripada komuniti itu dan saya sangat menghormati mereka.
"Namun apabila perkara seperti ini terus berlaku, ia membuatkan keadaan menjadi lebih buruk," katanya.
Dalam masa sama, Nadhif menjelaskan bahawa dia berkongsi situasi tersebut supaya orang ramai memahami sebab dia akhirnya memilih untuk bersuara selepas sekian lama berdiam diri.
"Saya hanya mahu memberikan sedikit konteks tentang mengapa saya membuat keputusan untuk bercakap mengenai perkara ini.
"Ini bukan sesuatu yang boleh dianggap normal. Tolong hentikan semua gangguan seperti ini," rayunya.