Sekilas
- Datuk Yusry Abdul Halim rasa fasa ketiadaan isteri, Datin Lisa Surihani yang sedang menunaikan haji, agak berat kerana tiada tempat untuk berkongsi cerita dan perasaan.
- Yusry akui rindu dan sentiasa ingatkan Lisa yang dia sentiasa ada dalam hatinya walaupun hanya berkomunikasi melalui telefon.
- Ini kali pertama Yusry menjaga anak-anak secara penuh selepas tukar pembantu rumah, sambil uruskan rutin harian dan peperiksaan anak-anak.
Pengarah, penyanyi dan pelakon Datuk Yusry Abdul Halim menganggap ketiadaan isterinya yang juga pelakon Datin Lisa Surihani dalam tempoh yang lama merupakan fasa yang agak berat buatnya.
Menurut Yusry, 53, dia tidak mempunyai tempat untuk berkongsi cerita dan luahan memandangkan Lisa kini sedang menunaikan ibadah haji di Makkah sejak 7 Mei lalu.
“Pada saya, ini antara fasa yang agak beratlah. Kadang-kadang bila kita sedih atau susah, kita nak orang tersayang untuk support kita.
“Tetapi apabila kita gembira pun, berada di atas, macam keberjayaan watak saya dalam drama terbaharu, tiada siapa untuk berkongsi rasa itu juga menyakitkan kerana Lisa tiada di sini.
“Watak saya viral dengan Tracie, saya pula jenis memikirkan perasaan pasangan. Walaupun Lisa tidak cakap apa-apa tentang itu, saya sentiasa bayangkan jika saya berada di tempatnya, apa agaknya dia rasa,” katanya kepada Gempak.
Yusry ditemui ketika sesi temu bual bersama media untuk drama terkininya berjudul Dendam Seorang Mentua pada Selasa.
Dalam pada itu, ahli kumpulan KRU ini memberitahu luahan rindu yang dikongsikan baru-baru ini menggambarkan perasaanya terhadap isteri tercinta.
“Luahan rindu itu memang saya rindu dia. Pada masa sama, saya nak beritahu dia yang dia sentiasa berada di hati saya.
“Benda tu saya cakap selalu dalam telefon tapi benda tu kadang-kadang nak menunjukkan yang dia sentiasa ada dalam hati saya,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Yusry berkata ini kali pertama dia menjaga anak-anak secara penuh memandangkan baru sahaja menukar pembantu rumah baru.
“Okay Alhamdulillah. Kebetulan diaorang minggu ini memang ada exam dan sebagainya. Jadi, sekarang saya jadi full-time dad la. Jadi full-time dad tu adalah benda-benda yang saya tak boleh lakukan.
“First time, because saya pembantu rumah pun baru tukar. Jadi saya tak boleh 100 peratus percaya. Pagi hantar sekolah, balik ambil sekolah,” katanya.