Sekilas
- Coach Cerai atau Izary Ikhbal menjelaskan bahawa peranan Divorce Coach adalah diiktiraf di peringkat antarabangsa dan istilah Cerai Coach adalah terjemahan tempatan.
- Beliau menerima pelbagai kecaman dan kritikan di media sosial selepas terlibat dalam isu rumah tangga selebriti Kamal Adli dan Uqasha Senrose.
- Izary berasa sedih dengan mesej kasar dan carutan yang diterima, terutama dari mereka yang mendakwa tindakannya bertentangan dengan ajaran Islam.
Individu yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Coach Cerai’ kini menjadi sasaran netizen di laman sosial sejak terlibat dalam isu rumah tangga pasangan selebriti, Kamal Adli dan Uqasha Senrose.
Menerima pelbagai kecaman dan kritikan, Coach Cerai atau nama sebenarnya Izary Ikhbal menerusi laman sosial miliknya menjelaskan maksud sebenar gelaran tersebut.
“Apa yang saya rasakan adalah kebingungan, keliru, dan satu rasa terperanjat terhadap tahap kejahilan yang mampu dilakukan oleh orang kita sendiri. Tidak pernah menjadi niat saya untuk mengelirukan orang ramai dengan istilah Cerai Coach.
“Seorang Divorce Coach adalah peranan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, dan istilah Cerai Coach hanyalah terjemahan tempatan. Kemudian ada juga hujah: Ini negara Islam. Negara Islam tidak memerlukan Cerai Coach,” kongsinya.

Tidak terasa hati dengan kritikan yang diterima, Izary Ikhbal bagaimanapun berasa terkilan apabila menerima mesej dan kata-kata yang terlalu kasar dan penuh carutan.
“Saya tidak rasa sakit hati, malah saya berasa sedih. Sedih kerana mesej dan kata-kata yang ditujukan kepada saya begitu kasar, dengan carutan, dan begitu busuk hati.
“Saya selalu percaya bahawa orang Melayu lembut bertutur, berbahasa, dan beradab. Saya tidak menjangka melihat penggunaan bahasa yang sebegitu buruk, lebih-lebih lagi dari kaum wanita.
“Apa yang paling membingungkan adalah: Mereka mendakwa bahawa apa yang saya lakukan bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi mereka sendiri menggunakan kata-kata penuh kebencian, jijik, dan penghinaan. Ironi ini sangat mengganggu,” katanya lagi.

Sumber - Threads