Sekilas
- Viviana dari Talk To My Manager musim kedua berkongsi pengalamannya menjadi mangsa buli ketika zaman persekolahan yang menyebabkan dia trauma dan sukar tidur lena.
- Walaupun masih ada rasa takut untuk berkomunikasi, sokongan keluarga dan rakan-rakan membantu Viviana untuk terus positif dan bergaul dengan orang lain.
- Selepas pendedahan Viviana, ramai mangsa buli lain turut berkongsi pengalaman mereka, termasuk kes kecederaan serius yang melibatkan pemain bola jaring di sekolah.
Bintang Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), Viviana mengakui berasa lega selepas membongkarkan dirinya pernah menjadi mangsa buli ketika zaman persekolahan suatu ketika dahulu.
Menurut Viviana, dia sudah lama memendam perasaan tersebut, malah dia tidak boleh melupakan kejadian yang menghantui tidur malamnya itu.
"Selepas bercerita saya rasa puas dan lega. Benda ini dah lama saya simpan, rasa takut nak kongsikan.
"Bila lama simpan dan dapat lepaskan rasa 'Ya Allah, lega sampai boleh tidur lena'.
"Kalau tak setiap malam pun saya terfikir-fikir juga. Saya takkan pernah boleh lupa kejadian hampir mati," katanya kepada Gempak.
Viviana berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada konsert minggu kelima Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), semalam.
Bagaimanapun, Viviana berkata bahawa sehingga kini dia masih mempunyai rasa takut untuk berkomunikasi dengan orang, namun sokonhan keluarga dan rakan-rakan menjadi punca kekuatannya untuk terus melangkah.
"Rasa takut masih ada tapi alhamdulillah atas sokongan keluarga dan kawan-kawan, bila jumpa persekitaran positif saya lupa sekejap benda yang terjadi.
"Saya sertai program-program ketika di universiti, bergaul dengan orang supaya saya tak nampak menyendiri.
"Sebenarnya yang jadi kemurungan sampai takut nak bergaul dengan sebab isu kepercayaan. Saya tertanya-tanya kenapa orang nak kawan dengan saya.
"Tapi saya tolak tepi perasaan itu dan sentiasa fikir positif. Umi pun selalu ingatkan perkara sama dan mengingatkan tak semua orang begitu," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, anak kepada penyanyi, Ani Mayuni itu turut mendedahkan bahawa sejak perkongsian tempoh lalu, mereka telah menerima mesej daripada mangsa buli lain yang turut melalui pengalaman yang sama, namun dengan orang yang berbeza.
"Kami pun terkejut, ada yang dedahkan, lutut adik dia dibedah dan tak boleh main dah.
"Ada juga yang koma dan pembuli itu masih lagi bermain bola jaring.
"Saya tak sangka ada orang lain juga pembuli (pemain bola jaring juga) dan kena lebih teruk," kongsinya.
Sebelum ini, Viviana mendedahkan pernah menjadi mangsa kekerasan beberapa pelajar senior di sekolah.
Tanpa menyebut nama, Viviana memberitahu kejadian tersebut melibatkan beberapa pemain bola jaring ketika dia mengikuti latihan sukan berkenaan di sekolah.