Ringkasan AI
- Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengumumkan larangan melibatkan atlet bawah 15 tahun dalam acara sukan tempur 'full contact' tanpa pelindung keselamatan dan kebenaran persatuan.
- Penyertaan atlet bawah umur hanya dibenarkan dalam kejohanan rasmi berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 dengan perlindungan penuh dan larangan KO pada kepala.
- Pesuruhjaya Sukan diberi tanggungjawab menyelia mekanisme kawal selia termasuk pengumpulan data kecederaan dan padanan regu yang seimbang.
- Penganjur diwajibkan mendapatkan sanction, menjalani pemeriksaan kesihatan, menghadiri kursus promoter dan matchmaker serta mematuhi SOP keselamatan ketat.
- Langkah ini diambil susulan isu keselamatan dan eksploitasi kanak-kanak dalam sukan tempur yang semakin mendapat perhatian masyarakat dan viral di media sosial.
Semua penganjur dilarang melibatkan atlet bawah 15 tahun dalam acara 'full contact' tanpa pelindung keselamatan dan kebenaran Persatuan Sukan Kebangsaan atau Negeri.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, sebaliknya penyertaan hanya dibenarkan dalam kejohanan rasmi berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.
"Langkah yang diambil ini bertujuan memastikan keselamatan, integriti, dan profesionalisme penganjuran sukan tempur di negara ini.
"Walaupun acara ini menerima sambutan daripada penonton dan berkemampuan menjana impak ekonomi yang positif, KBS tidak akan berkompromi dengan keselamatan, integriti ataupun perlindungan atlet dan kanak-kanak.
"KBS ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat bahawa sukan tempur adalah salah satu kategori sukan yang dikawal selia dan ianya tidak wajar dianggap sebagai aksi hiburan semata-mata," katanya pada sidang media Warzone World Championship di Putrajaya di sini pada Jumaat.
Hannah berkata, dalam pada itu Pesuruhjaya Sukan diberi tanggungjawab menyelia keseluruhan mekanisme kawal selia, termasuk pengumpulan data mengenai jumlah atlet, kadar kecederaan, insiden kesihatan, serta padanan regu yang seimbang.
Perkara ini akan menjadi asas pembangunan dasar dan garis panduan baharu dalam acara sukan tempur tempatan.
"KBS menekankan bahawa sukan tempur bukan sekadar hiburan. Eksploitasi kanak-kanak untuk menarik penonton atau keuntungan adalah tidak dibenarkan, manakala atlet bawah umur hanya dibenarkan bertanding mengikut peraturan amatur dengan perlindungan penuh dan larangan KO pada kepala bagi kanak-kanak.
"Penganjur, termasuk yang melibatkan selebriti dan influencers, diwajibkan mendapatkan sanction daripada persatuan, menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk HIV dan Hepatitis, serta memastikan latar belakang pengalaman atlet diperiksa sebelum dibenarkan bertanding.
"Semua penganjur juga diwajibkan menghadiri kursus promoter dan matchmaker, menjalani ujian hidrasi, serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ketat bagi melindungi atlet," katanya.
Katanya lagi, masyarakat hari ini begitu cakna dengan perkembangan sukan terutama membabitkan keselamatan kanak-kanak sangat tinggi dan oleh yang demikian segala teguran harus dipandang serius.
"Semalam saya telah mengadakan perbincangan bersama Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia bagi meneliti langkah penambahbaikan kawal selia terhadap acara sukan tempur yang semakin mendapat perhatian masyarakat.
"Antara isu utama yang dikenal pasti termasuk ketiadaan dokumen kontrak yang sah antara atlet dan penganjur, matchmaking padanan regu yang tidak seimbang, amalan tidak sihat seperti penurunan berat badan yang melampau, serta pelanggaran kepada undang-undang dan prosedur operasi standar SOP," katanya.
Isu keselamatan ini mula timbul selepas beberapa kejadian viral melibatkan kanak-kanak dan influencers dalam pertandingan sukan tempur, di mana terdapat risiko kecederaan serius akibat kekurangan pengawasan, padanan regu tidak seimbang, dan pematuhan SOP yang lemah.
Sumber: Astro AWANI