Sekilas
- Pelumba legenda dunia seperti Chris Forsberg, Max Verstappen, dan Lewis Hamilton terkenal dalam kategori masing-masing dengan sokongan pasukan dan teknologi canggih.
- Malaysia juga ada legenda tersendiri, Karamjit Singh, yang pernah menjuarai Asia Pacific Rally Championship menggunakan kereta Proton dan pasukan tempatan.
- Kisah perjuangan Karamjit akan diangkat dalam filem TERBANG yang dijangka ditayangkan pada 2026, menampilkan barisan pelakon popular Malaysia.
Dunia motorsport sememangnya dipenuhi dengan pelumba legenda yang mencipta nama dalam kategori masing-masing di pentas antarabangsa.
1. Pelumba Legenda Dalam Liga Masing-Masing
Nama seperti Chris Forsberg dalam Formula Drift, Max Verstappen dan Lewis Hamilton dalam Formula One (F1), serta Jann Mardenborough dalam perlumbaan GT Racing merupakan antara ikon perlumbaan yang mengharumkan nama negara mereka di peringkat dunia.

Foto: @chrisforberg/Instagram

Foto: @lewishemilton/Instagram
Setiap daripada mereka dikenali sebagai juara dalam liga masing-masing dengan sokongan pasukan antarabangsa, teknologi terkini serta jentera perlumbaan bertaraf dunia.
2. Malaysia Juga Punya Legenda Sendiri
Di sebalik nama-nama besar dunia tersebut, Malaysia juga mempunyai seorang pelumba yang pernah mencipta sejarah dalam dunia rally iaitu Karamjit Singh.
Sebagai rakyat Malaysia, kejayaan Karamjit membuktikan negara ini juga mampu melahirkan pelumba bertaraf dunia yang mampu berdiri sebaris dengan legenda motorsport antarabangsa.

Foto: @karamjitsingh/Instagram
Karamjit bukan sekadar pelumba rally biasa, sebaliknya pernah menjuarai Asia Pacific Rally Championship (APRC) sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas perlumbaan dunia.
3. Kejayaan 100 Peratus Sentuhan Malaysia
Apa yang menjadikan perjalanan Karamjit begitu istimewa adalah cara dirinya mencapai kejayaan tersebut.
Jika kebanyakan pelumba dunia berlumba bersama pasukan antarabangsa yang besar dengan teknologi tercanggih serta kereta perlumbaan daripada jenama global, Karamjit pula membuktikan kehebatan anak tempatan apabila berlumba bersama pasukan Malaysia menggunakan kereta Proton.
Kejayaan tersebut boleh dianggap sebagai usaha 100 peratus Malaysia, bermula daripada pelumba, pasukan sehingga kepada jentera yang digunakan.
4. Legasi Yang Membanggakan Negara
Kejayaan Karamjit bukan sahaja mencipta kemenangan dalam perlumbaan, malah membuktikan bahawa pelumba, pasukan dan jentera dari Malaysia mampu bersaing dengan kuasa besar dunia dalam arena motorsport.
Kisah perjuangan luar biasa itu kini bakal diangkat ke layar perak menerusi filem TERBANG yang diinspirasikan daripada perjalanan hidup legenda rally negara tersebut.
Filem itu mengisahkan bagaimana Karamjit bersama pasukan underdog Malaysia, PERT Team berjaya mengharumkan nama negara dalam dunia perlumbaan rally.
Sekadar info, TERBANG dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada tahun 2026.
Filem arahan Chiu Keng Guan itu menampilkan barisan pelakon seperti Irfan Zaini, Jack Tan, Zizan Razak, Nam Ron, Shweta Sekhon dan Diana Danielle.