Skip to main content

Selepas 27 Tahun, Heyda Hafeey Hidupkan Semula ‘Zapin Usik Mengusik’ Bersama Lan Solo - "Ini Usaha Saya Untuk..."

Astro Gempak heyda

Sekilas

  • Heyda Hafeey, kembali dengan versi baharu lagu ikonik 'Zapin Usik Mengusik' yang pernah popular pada 1998.
  • Lagu 'Zapin Usik Mengusik 2.0' mengekalkan elemen zapin tradisional sambil disuntik dengan konsep Etnik Fusion moden dan dinamik.
  • Kolaborasi bersama penyanyi rock Lan Solo memberikan dimensi baru kepada lagu ini, yang dihasilkan sejak 2025 di bawah Heyda Entertainment.

Jika menyebut era kegemilangan muzik tempatan sekitar tahun 1998, lagu Zapin Usik Mengusik pasti antara karya yang masih segar dalam ingatan ramai.

Ketika itu, lagu tersebut menjadi fenomena apabila dinyanyikan oleh penyanyi muda berbakat, Haida, yang ketika itu baru berusia 17 tahun, bersama kumpulan komedi popular Senario.

Lagu berentak zapin itu bukan sahaja menjadi siulan di radio, malah sering berkumandang dalam pelbagai majlis dan acara keramaian di seluruh negara.

Kini selepas lebih dua dekad, penyanyi yang pernah mencetuskan fenomena tersebut kembali memeriahkan dunia muzik dengan imej dan identiti baharu.

Tidak lagi menggunakan nama Haida, beliau kini tampil dengan penjenamaan baharu sebagai Heyda Hafeey, satu nama yang lebih segar dan moden untuk perjalanan seni yang seterusnya.

Sebagai kemunculan semula yang signifikan, Heyda mempersembahkan versi baharu lagu ikonik tersebut menerusi Zapin Usik Mengusik 2.0, sebuah karya yang diberikan sentuhan segar tanpa menghilangkan identiti asalnya.

Lagu asal ciptaan Budeen itu telah digubah semula oleh pemuzik berpengalaman Dato Indra. Versi 2.0 ini mengekalkan elemen tradisional zapin yang menjadi tunjang lagu asal, namun disuntik dengan konsep Etnik Fusion yang lebih moden dan dinamik.

Gabungan instrumen tradisional bersama elemen muzik kontemporari menjadikan lagu ini lebih segar, catchy dan sesuai dinikmati oleh pelbagai generasi pendengar.

Menambahkan lagi tarikan, lagu ini turut menampilkan kolaborasi bersama penyanyi rock terkenal, Lan Solo. Gabungan vokal Heyda Hafeey dan karakter vokal Lan Solo memberikan dimensi baharu kepada karya yang pernah mencipta sejarah dalam industri muzik tempatan.

Bagi Heyda sendiri, lagu ini mempunyai nilai sentimental yang sangat besar dalam perjalanan kerjayanya.

"Lagu ini adalah 'pintu' yang memperkenalkan saya kepada industri muzik Malaysia. Memilih untuk merakamkan semula lagu ini bukan sekadar mengimbau kenangan, tetapi adalah usaha saya untuk menyesuaikannya dengan perubahan era terkini tanpa meminggirkan ciri-ciri tradisional yang menjadi tunjang asal lagu ini," katanya.

Proses pembikinan Zapin Usik Mengusik 2.0 telah dimulakan sejak tahun 2025 di bawah penerbitan Heyda Entertainment dengan sokongan penuh daripada Luncai Emas Sdn Bhd sebagai syarikat penerbitan publishing.

Anda mungkin berminat dengan

OHNII CNY Exclusive: Oversized Horse Front Haughty Bear Cotton Jersey Tshirt

OHNII CNY Exclusive: Oversized Horse Front Haughty Bear Cotton Jersey Tshirt

adidas Adicolor Trefoil T-Shirt - Brown

adidas Adicolor Trefoil T-Shirt - Brown

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

VELOCITY Tri-Blend Running T-Shirt Men in Green Terrain/Heather by PUMA

VELOCITY Tri-Blend Running T-Shirt Men in Green Terrain/Heather by PUMA

Nike Club T-Shirt - Black

Nike Club T-Shirt - Black

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

Must-Watch Video

Advertisement