Sekilas
- Fattah Amin menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan melalui peguamnya bagi mengelakkan salah faham berhubung dakwaan memukul pembantu rumah.
- Fattah menegaskan dia tidak terlibat dalam insiden keganasan yang tular dan enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan polis.
- Firma guaman yang mewakili Fattah dan Amira menafikan sebarang kaitan mereka dengan video keganasan yang tular di media sosial.
Pelakon, Fattah Amin tampil menjelaskan tindakannya mengeluarkan kenyataan menerusi wakil peguamnya susulan dakwaan tular kes memukul pembantu, baru-baru ini.
Menurut Fattah, kenyataan tersebut dikeluarkan bagi mengelakkan salah faham selain memastikan agar semua pihak dapat mengetahui situasi sebenar dengan jelas.
“Sebenarnya peguam kami dah pun keluarkan kenyataan baru-baru ini. Jadi saya tak bercadang untuk ulas lebih lanjut kerana enggan mencetuskan lagi kekeliruan.
“Kami tak sangka sebenarnya isu itu boleh jadi tular.
“Mungkin ada juga yang tidak jelas, tidak faham atau tidak tahu mengenai perkara sebenar.
“Jadi, kami keluarkan satu kenyataan untuk membuat penjelasan bahawa saya tidak ada kena-mengena dengan isu berkenaan,” katanya kepada Gempak.
Fattah berkata demikian ketika ditemui di acara Picklebash 2.0, petang tadi.
Pelakon filem Mat Kilau: Darah Indera Gajah itu berkata, dia juga enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut memandangkan ianya masih dalam siasatan pihak berkuasa
“Setakat yang saya tahu, kes itu masih lagi dalam urusan pihak polis dan peguam,” katanya.
Pada 13 Jun lalu, tular sebuah video memaparkan insiden keganasan fizikal membabitkan empat individu terhadap seorang wanita warga Indonesia dipercayai bekerja sebagai pembantu rumah.
Susulan penularan video itu, terdapat segelintir netizen membuat perkongsian berbaur fitnah yang mengaitkan Fattah dan Amira dengan individu yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Sehubungan itu, firma guaman Arief & Iskandar Advocates & Solicitors yang mewakili pasangan berkenaan mengeluarkan kenyataan menafikan sebarang kaitan anak guam mereka dengan insiden diperkatakan netizen.
Wakil firma guaman itu juga menegaskan, Fattah dan Amira bukan individu dalam klip video itu serta tidak terlibat dengan insiden keganasan yang berlaku sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.