Sekilas
- Uyaina Arshad berkongsi keadaan terkini ibu dan bapanya yang terlibat dalam kemalangan selepas dilanggar sebuah kenderaan yang melarikan diri dari polis.
- Walaupun tiada kecederaan serius selepas imbasan X-ray, ibu dan bapanya mengalami sakit badan dan pening kepala serta perlu dipantau selama 24 jam.
- Kedua ibu bapa Uyaina dalam keadaan selamat dan tiada simptom bahaya setakat ini, menurut nasihat doktor.
Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad berkongsi keadaan terkini ibu dan ayahnya yang terlibat dalam satu kemalangan pada Jumaat malam.
Menurut Uyaina atau nama lengkapnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, ibu dan bapanya berada dalam keadaan yang baik namun mengalami beberapa gejala seperti sakit badan serta pening kepala.
Tambah Uyaina, imbasan X-ray yang dilakukan juga menunjukkan tiada kecederaan serius terhadap ibu dan bapanya.
“Dah X-ray dan Alhamdulillah tiada apa-apa kecederaan cuma mereka masih sakit-sakit badan dan pening kepala.
“Ibu dan babah saya masih lagi terkejut dengan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Gempak.
Berkongsi mengenai kejadian, pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa ini berkata ketika itu ibu dan bapanya dalam perjalanan untuk makan bersama di luar.
“Ketika itu mereka dalam perjalanan keluar untuk ke kedai makan. Waktu hendak masuk simpang kanan, kereta mereka dilanggar.
“Rupanya yang langgar tu ada dadah dalam kereta. Mereka lari dari polis yang tengah mengejar mereka,” kongsinya lagi.
Bercerita lanjut, Uyaina memaklumkan ketika ini ibu bapanya perlu dipantau sepanjang tempoh 24 jam atas nasihat doktor.
“Doktor pesan supaya ibu dan babah dipantau dalam tempoh 24 jam. Kalau ada beberapa simptom yang disenaraikan, kena datang semula ke hospital. Alhamdulillah mereka tiada lagi simptom-simptom itu,” ujarnya.
Terdahulu, Uyaina menyorot perhatian apabila berkongsi mengenai ibu dan bapanya yang terlibat dengan kemalangan.
Menurut Uyaina, ibu bapanya dirempuh oleh sebuah kenderaan yang melanggar lampu isyarat berwarna merah dipercayai sedang melarikan diri dari pihak polis kerana membawa dadah.
Uyaina bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana kedua ibu bapanya berada dalam keadaan yang selamat.