Sekilas
- Matthew McConaughey pernah melarikan diri ke Peru selama 22 hari dan menukar nama kepada Mateo untuk lari dari populariti dan menjalani kehidupan sederhana tanpa bekalan elektrik.
- Dia mahu membezakan antara realiti dan populariti dengan bergaul sebagai orang biasa, dan berpisah dengan orang di Peru dengan perasaan berat kerana diterima sebagai Mateo, bukan selebriti.
- Selain itu, McConaughey juga pernah meninggalkan Hollywood dan menetap di Texas bersama keluarga kerana kecewa sering diberi watak dalam filem romantis walaupun kerjaya sedang di puncak.
Pemenang Oscar, Matthew McConoughey mendedahkan pernah ‘lari’ ke Peru selepas terkena kejutan budaya menjadi popular sewaktu zaman kemuncaknya beberapa tahun lalu.
Tidak hanya tinggal di Peru selama 22 hari, bintang Interstaller itu juga menukar namanya sebagai Mateo. Malah sebagai Mateo yang jauh daripada dunia popular, dia juga hidup sederhana antaranya tidak mempunyai bekalan elektrik untuk memisahkan status selebriti dengan ‘orang biasa’.
“Saya perlu kembali berada di bumi yang nyata. Jadi saya ‘keluar’. Saya pergi ke Peru. Saya perlu yakinkan diri walaupun saya tahu saya ada (populariti).
“Saya tahu saya terkenal tapi pada waktu yang sama, saya perlu membezakan mana realiti dengan yang tidak,” ujar Conoughey sewaktu muncul dalam podcast No Magic Pill seperti dilaporkan Variety.
Menurut aktor berusia 56 tahun ini, 12 hati pertama membawa diri ke Peru, hidupnya tidak stabil namun selepas itu semuanya menjadi semakin baik dan tersusun.
“Saya sekarang berada di satu tempat yang asing dalam jangka masa yang lama. Jadi saya perlu menyesuaikan diri. Saya perlu berkenalan dengan orang sekeliling yang hanya mengenali saya sebagai Mateo,” katanya.
Tambah Conoughey lagi: “Dan setelah 22 hari, saya berpisah dengan orang yang hanya mengenali saya sebagai Mateo dengan perasaan yang berat kerana mereka menerima saya sebagai Mateo, orang biasa. Bukan seorang selebriti dan kejujuran itu penting kerana orang sekeliling menerima siapa diri saya bukan kerana status selebriti.”
Selain pernah membawa diri ke Peru kerana populariti, bintang itu juga pernah meninggalkan Hollywood dan membawa keluarganya menetap di Texas selepas kecewa kerap diberi watak dalam filem romantis selepas terkenal dengan filem The Wedding Planner dan How to Lose a Guy in 10 Days.
Dia mengaku sempat berasa takut meninggalkan Hollywood sewaktu kerjaya berada di puncak namun tetap meneruskannya.
“Saya fikir keputusan itu adalah yang paling ‘ganas’ dilakukan sebagai tanda protes dengan situasi saat itu,” ujarnya lagi.