Skip to main content

Konsert

Terharu Sembilu Jadi Konsert, Yusof Haslam: “Ini Kenangan Sebelum Saya Menutup Mata”

sembilu

Sekilas

  • Datuk Yusof Haslam akan menganjurkan konsert mega Sembilu The Reunion Live In Concert pada 7 Februari 2026 di Axiata Arena, Kuala Lumpur.
  • Konsert ini menampilkan tiga bintang utama filem Sembilu iaitu Dato Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain sebagai penghargaan kepada peminat dan kenangan peribadi Yusof.
  • Filem Sembilu yang dilancarkan pada 1994 terkenal dengan lagu-lagu runut bunyi seperti Ukiran Jiwa dan Tragedi Oktober yang kekal popular sehingga kini.

Pengasas ‘jenama’ dan pembikin filem pecah panggung berjudul Sembilu, Datuk Yusof Haslam melahirkan rasa teruja dan terharu untuk melihat projek mega Sembilu The Reunion Live In Concert bakal berlangsung pada 7 Februari 2026 di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

Menurut Yusof, beliau mahu melihat Sembilu yang melahirkan produk berkualiti termasuk tiga bintang utamanya iaitu Dato Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain apabila dijadikan konsert kelak bukan hanya dapat mengembalikan nostalgia kepada peminat tetapi menjadi hadiah yang cukup berharga buatnya.

Yusof yang kini berusia 71 tahun mengatakan mahu Sembilu The Reunion Live In Concert meninggalkan kenangan indah sebelum beliau dijemput Ilahi.

“Sebenarnya ramai rakan seangkatan saya telah menutup mata. Sekarang saya sudah berusia 71 tahun dan masih mahu meneruskan perjuangan seni, malah ingin melihat ia terus dipertahankan oleh generasi kini.

“Sembilu The Reunion Live In Concert akan menjadi konsert kenangan sebelum saya menutup mata,” ujar Yusof sewaktu majlis sidang media konsert tersebut di ibu kota baru-baru ini.

Ditanya adakah beliau akan terlibat sama di atas panggung bersama Awie, Erra dan Ziana pada Sembilu The Reunion Live In Concert kelak, Yusof memberitahu mahu hadir memberi sokongan bersama keluarganya.

“Saya tidak akan terlibat di atas pentas tapi apa yang pasti saya akan hadir bersama keluarga sebagai tanda sokongan kepada adik-adik saya (Awie, Erra dan Ziana),” katanya.

Filem Sembilu genre drama romantik pertama kali dilahirkan dan mendapat sambutan hangat pada tahun 1994 dengan menampilkan Awie sebagai penyanyi rock terkenal, Erra membawa watak Watie dan Ziana sebagai Ziana, penyanyi baharu.

Bersama filem ini, lagu-lagu runut bunyi yang dihasilkan telah menjadi malar segar sehingga tiga dekad mencetuskan ilham penganjuran Sembilu The Reunion Live in Concert.

Lagu-lagu tersebut termasuklah Ukiran Jiwa, Tragedi Oktober, Anggapanmu dan Di Ambang Wati yang cukup melekat dalam hati peminat.

Mengulas mengenai lagu-lagu yang ikut meledak seperti filemnya, Yusof mengatakan kecemerlangan yang terjadi adalah sesuatu yang subjektif untuk diperkatakan.

“Sebenarnya kalau mahu bercakap tentang filem bagus ada lagu yang bagus, itu subjektif, jadi ini berbalik kepada rezeki Allah,” katanya.

Must-Watch Video

Advertisement