Sekilas
- Padi Reborn akan membuka Konsert DEWA 19 di Stadium Unifi Arena, Bukit Jalil dengan membawakan lapan lagu termasuk lagu-lagu jarang dipersembahkan.
- Konsert ini menjadi peluang untuk mereka memperkenalkan album terbaru mereka, 28, kepada peminat di Malaysia.
- Padi Reborn mengekalkan gaya muzik asal tanpa banyak improvisasi agar peminat dapat menikmati lagu-lagu mereka seperti biasa.
Padi Reborn bukan sebuah nama yang asing dalam kalangan peminat muzik Nusantara, apa lagi di negara kelahiran mereka, Indonesia. Sudah 29 tahun mereka dalam industri ; meraih pelbagai gelaran, menjadi salah satu band paling popular, berehat dalam satu tempoh yang cukup panjang dan kini kembali menjalani karier mereka di atas nama Padi Reborn setelah dikenal luas dengan nama Padi, mengambil filosofi nama mereka, Padi Reborn semakin ‘menunduk’.
Buktinya, tanpa rasa ego tercalar, Padi Reborn berbesar hati menjadi artis jemputan yang akan membuka dan menghangatkan Konsert DEWA 19 - "CintaKu TerTinggal Di Malaysia" yang dijadual berlangsung malam ini di Stadium Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
“Padi Reborn dengan senang hati menghibur baladewa pada konsert Konsert DEWA 19 - "CintaKu TerTinggal Di Malaysia" meski mereka tidak tahu lagu-lagu kita. Itu konsep makin berisi makin menunduk seperti nama kumpulan ini,” ujar Rindra sewaktu ditemui di Stadium Unifi Arena semalam.
Vokalisnya, Fadly menambah, memiliki segudang prestasi dalam belantika muzik justeru menjadi sebuah peringatan buat mereka untuk kekal sedar diri.
“Ini jadi amaran, peringatan atau ‘rambu-rambu’ dalam perjalanan kita berkarya, kita ingat kita anggota Padi, kadang kita bisa lupa kita harus tahu diri. Seharusnya teruslah membumi kerana tanpa sedar 29 tahun masih ‘berkhidmat’, selalu diingatkan jadilah seperti Padi,” ujar Fadly mengenai kumpulan yang memperoleh nama daripada pemain drum mereka, Yoyo.
Dan pada malam istimewa yang pertama kali menampilkan Padi Reborn satu pentas dengan Dewa 19 di Malaysia, kumpulan ini bakal mendendangkan lapan buah lagu. Meski dilihat ia adalah jumlah yang sedikit buat peminat mereka yang bergelar Sobat Padi, namun ia menjadi serampang dua mata bukan hanya buat Padi Reborn tetapi juga penganjur, Icon Entertainment.
“Ya, hanya lapan lagu. Malah ada dalam senarai lagu-lagu ini adalah lagu yang sangat langka atau jarang kami persembahkan. Namun ia dipersembahkan malam nanti atas permintaan Sobat Padi,” ujar Fadly.
Selaku penganjur, Iman Tang menjelaskan dengan lapan buah lagu yang ditampilkan, beliau melihat potensi Padi Reborn untuk berdiri dalam sebuah konsert solo lantaran sambutan hangat yang diterima.
“Sebenarnya ramai yang bertanya dan teruja kerana Dewa 19 dan Padi Reborn pertama kali disatukan di Malaysia. Jadi, walaupun hanya lapan lagu, ia adalah seperti satu ‘pemercik’.
“Kami mahu peminat yang sedang asyik menikmati tiba-tiba berasa ‘hilang’, ‘eh sudah habis’ dan rasa tidak cukup. Kerana sifat manusia yang sentiasa mahukan lagi dan lagi, maka tidak mustahil Padi Reborn akan hadir dengan konsert solo skala besar mereka di kemudian hari,” kata Iman Tang.
Buat Padi Reborn sendiri, dengan lapan lagu yang bakal dipersembahkan, panggung konsert ini juga menjadi salam kenal buat single dari album terkini mereka, 28 yang akan disampaikan di Konsert DEWA 19 - "CintaKu TerTinggal Di Malaysia”, malam ini.
“Lewat persembahan malam nanti, kami sekalian mempromosikan album terkini Padi Reborn, 28.
“Kami harus akui, Padi Reborn bukan sebuah band masa kini atau mengikut algoritma, yang punya banyak followers di media sosial, tapi kami punya Sobat Padi yang tetap mendukung kita.
“Maka semoga penikmat muzik di Malaysia boleh mendengarkan album kami di semua platform digital dan kami yakin semua khalayak boleh menerima lapan lagu yang dimuatkan dalam album ini,” ujar Piyu.
Dan kata mereka, tidak banyak improvisasi yang dilakukan terhadap lagu-lagu yang dipersembahkan. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, namun kata Piyu mereka mahu peminat menikmati karya mereka tanpa gubahan yang ‘besar’ sehingga sukar mengenal lagu yang dimainkan.
“Suatu masa dulu mungkin ya, kami sering membikin arrangment yang ‘besar’ dan pelbagai untuk persembahan kami. Namun kini, kami hanya mahu bermain dan menghiburkan peminat layaknya mereka pernah atau sering mendengar lagu-lagu kami seperti biasa,” katanya.