Sekilas
- Datuk Seri Vida berjaya mengubah imej anaknya, Cik B, dengan busana khas yang disediakan sendiri untuk konsert minggu keempat Talk To My Manager 2.
- Cik B tampil dengan persembahan berbeza lagu "Situasi" versi Bunkface dan mendapat pujian daripada Vida atas usaha dan penampilannya.
- Program TTMM2 menampilkan beberapa pasangan pengurus-artis dan disiarkan setiap Ahad di Astro Ria serta boleh distrim melalui Astro GO dan Sooka.
Pengurus kepada bintang program Talk To My Manager 2 (TTMM2), Datuk Seri Vida berjaya membuat perubahan imej pada anaknya, Cik B di konsert minggu keempat program berkenaan.
Menurut Vida, dia sendiri menyediakan busana khas buat Cik B bagi memastikan penampilan anaknya tampil lebih segar dan berbeza berbanding minggu-minggu sebelum ini.
“Sebenarnya mama menyediakan baju ini untuk Cik B, jadi ada skirt. Saya berdoa harap Cik B pakailah skirt itu sebab saya mahukan ‘look’ Cik B sedikit berbeza.
“Tak mahu stail yang sama dah tiga minggu, jadi biarlah ada sedikit wow faktor walaupun minimalis, letak sahaja skirt macam itu tapi beri impak,” jelasnya.
Vida berkata demikian ketika ditemui selepas tamat konsert minggu keempat TTMM2 bertempat di Auditorium MBSA Shah Alam pada Ahad.

Dalam pada itu, Vida turut memaklumkan Cik B juga cuba memberikan kelainan dari segi persembahan apabila membawakan lagu berjudul Situasi nyanyian asal Bunkface dengan versinya tersendiri.
Bagaimanapun, Vida mengakui dia sebak melihat usaha ditunjukkan anaknya sepanjang persembahan berlangsung.
“Cik B juga cuba bawakan lagu Bunface versi yang lain, tapi saya sedih sampai rasa nak menangis melihat dia. Cik B ‘did a good job’.
“Dalam masa yang sama, saya juga sangat bangga melihat dia, Cik B dah berjaya buat mama bangga untuk minggu ini,” ujarnya.
Terdahulu, penampilan Cik B di minggu ketiga TTMM2 menjadi perhatian netizen apabila ada yang mendakwa gaya pemakaiannya kelihatan terlalu ‘boyish’.
Malah, perkara itu turut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial apabila ada segelintir netizen mempersoalkan tentang pemilihan pemakaiannya.
Namun, tidak kurang juga ada netizen yang mempertahankan Cik B dan menyifatkan setiap individu berhak memilih gaya berpakaian mengikut keselesaan masing-masing.
Minggu keempat TTMM2 menyaksikan Datuk Fazley & Fariedz Fazley menjadi pasangan kedua meninggalkan pentas tersebut.
Antara barisan pengurus artis yang bertanding untuk musim kedua adalah Adira dan Anggrek, Ani Maiyuni dan Viviana, Datuk A. Aida dan Azeva, Datuk Fazley dan Fariedz Fazley.
Malah TTMM2 juga menyaksikan penyertaan Datuk Seri Vida dan Cik B, Jamilulhayat dan Hussain, Linda Jasmine dan Ratu, Nana Mahazan dan Althea, Pak Azad dan Amarra, serta Safura dan Kim Khairii.
Program ini dikendalikan oleh pengacara legenda, Aznil Nawawi, bersama barisan juri ternama iaitu Sarimah Ibrahim, Datuk AC Mizal dan Jaclyn Victor selaku juri jemputan.
Setiap pasangan ‘pengurus-artis’ dinilai secara keseluruhan dengan pecahan 60 peratus untuk pengurus dan 40 peratus untuk artis.
Saksikan konsert Talk To My Manager 2 setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.
Program ini juga boleh distrim secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO dan Sooka.