Pelakon Azhar Sulaiman, tampil memberi pandangan terhadap isu disiplin pelajar dan kejadian tidak diingini yang semakin kerap berlaku di sekolah.
Menurutnya, masalah sebenar tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu pihak sekolah mahupun Kementerian Pendidikan, sebaliknya berpunca daripada akses bebas anak-anak terhadap kandungan tidak sihat di internet.
Advertisement
Dalam satu perkongsian di Facebook, Azhar menegaskan bahawa pihak seperti Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, KPM dan jabatan pendidikan negeri serta daerah sudah pun melakukan yang terbaik dalam memastikan keselamatan pelajar di sekolah.
“Macam-macam masalah berlaku kat sekolah ni. Abang rasa tak patut kita salahkan Menteri Pendidikan, KPM, sekolah, atau jabatan pelajaran negeri dan daerah. Semua pihak dah buat yang terbaik,” katanya.
Namun menurutnya, akar masalah sebenar bermula di rumah, apabila kanak-kanak dan remaja kini terdedah kepada pelbagai 'anasir kuning' hasil penggunaan gajet tanpa kawalan.
“Masalah kita ni gajet. Budak-budak kita terdedah kepada budaya anasir kuning. Kalau tak dapat telefon yang boleh akses internet, mereka guna komputer riba ibu bapa. Budak-budak sekarang memang pandai cari bahan,” ujar Azhar.
Dengan nada bersahaja tetapi penuh sindiran halus, pelakon yang juga bapa kepada tiga cahaya mata itu turut bergurau bahawa mungkin satu-satunya penyelesaian radikal adalah dengan memberikan anak-anak 'walkie-talkie' sahaja bagi menggantikan telefon pintar.
“Mungkin bagi anak pakai walkie-talkie je, habis cerita. Masalah kita adalah akses mereka kepada bahan berbahaya di internet,” katanya.
Azhar turut menyebut contoh negara Singapura, yang menurutnya mempunyai kawalan lebih ketat terhadap capaian laman web berunsur tidak sihat.
“Kalau di Singapura, kalau kalian taip sahaja alamat tak tentu pasal, keluar arahan datang pada kamu,” tulisnya dengan nada bergurau tetapi penuh maksud tersirat.
Dalam hantaran sama, Azhar turut berkongsi sisi peribadinya sewaktu zaman remaja, mengimbas kenangan ketika digelar ‘Mat Rambu’ kerana suka keluar malam dan jarang berada di rumah.
Namun, katanya, kini situasi berbeza apabila anak-anaknya lebih tenang dan tidak gemar keluar rumah lewat malam.
“Behar dulu family panggil Mat Rambu sebab susah sangat nak lekat kat rumah. Malam je hilang, sampai subuh baru balik. Anak-anak saya pula lain, pukul 12 tengah malam semua dah lembik, ikut perangai mak dia,” tulisnya berseloroh.
Azhar turut menambah bahawa penggunaan CCTV di sekitar rumah membantu mengelakkan masalah anak-anak 'curi keluar' atau 'curi masuk' pada waktu malam.
“Takde kes sneaked out atau sneaked in sebab CCTV ada merata ceruk rumah kami,” tulisnya sambil disertai emoji ketawa.