Pelakon jelita Nora Danish mengakui berasa bimbang apabila keterbukaannya berkongsi mengenai lelaki yang dikaitkan sebagai kekasih baharunya, Mickey Ayo, mungkin menyinggung perasaan sesetengah pihak.
Selain itu, Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 43, turut risau sekiranya hubungan tersebut tidak berakhir seperti yang diharapkan ramai.
Advertisement
“Kalau boleh saya nak jaga privasi saya dan dia (Mickey). Dia pun terkejut bila kopiah putih menjadi viral. Kasihan dia. Saya sebenarnya ‘nervous’. Saya tak mahu kisah ini membuatkan ada pihak yang tersinggung,” katanya kepada Gempak.
Nora ditemui ditemui di majlis pelancaran koleksi terbaharu Amber, Oasis 2.0 - Mirage: A Secret by The Desert yang berlangsung di butik Amber Flagship, Shangri-La Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketika ditanya siapakah pihak yang dimaksudkan, Nora tidak pasti, namun mengakui sesiapa sahaja mungkin terasa dengan perkongsian mengenai kehidupannya kini.
“Peminat saya kan ramai. Mungkin ada yang akan tersinggung,” jelasnya tanpa merujuk kepada mana-mana individu secara spesifik.
Menjawab persoalan sama ada dia sudah bersedia untuk kembali berumah tangga, pelakon sitkom Puteri ini menegaskan dia tidak pernah menutup pintu hatinya terhadap cinta.
“Saya tidak pernah terfikir untuk menyesal dalam percintaan. Perkara ini lumrah dalam kehidupan untuk kita belajar menjadi lebih baik. Kalau saya gagal kali pertama, gagal kali kedua pun saya tak rasa macam kehidupan sudah berakhir dan berhenti mempercayai lelaki.
“Saya sentiasa percaya Allah akan hadirkan insan yang lebih baik dan menjadikan saya insan yang lebih baik. Sudah tentu saya inginkan perkahwinan kerana saya nak kejar syurga bersama pasangan, kan ‘best’ kalau ada pasangan. Kalau seorang penat juga,” katanya.
Menyifatkan Mickey sebagai seorang yang menghiburkan dan sering membuat dirinya tertawa, Nora mengakui bahawa lelaki itu merupakan individu yang sedang rapat dengannya ketika ini.
“Saya serahkan segalanya kepada Allah untuk mempermudahkan segala urusan. Kalau Allah permudahkan, maknanya dialah orangnya. InsyaAllah,” katanya.

Dalam pada itu, Nora turut meluahkan rasa syukur kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk menjadi wajah bagi koleksi terbaharu jenama Amber yang dinamakan Mirage.
“Sebelum ini saya bersama dua lagi rakan artis iaitu Amira Othman dan Amyra Rosli menjadi wajah untuk koleksi Oasis. Kali ini saya sekali lagi diberi kepercayaan untuk menjadi wajah koleksi terbaru iaitu Mirage.
“Ada 10 rekaan semuanya dengan harga yang sangat berpatutan dan boleh dipakai oleh wanita berhijab mahupun yang tidak berhijab. Sesuai untuk digayakan ke pelbagai acara,” katanya.
