Sekilas
- Diana Danielle menafikan mengetahui sebarang maklumat mengenai dakwaan yang mengaitkan bekas suaminya, Farid Kamil, dengan kes dadah pelakon lelaki popular baru-baru ini.
- Diana berharap isu tersebut tidak benar dan menegaskan hubungan Farid dengan anak-anak mereka masih baik serta saling menyokong dalam membesarkan anak.
- Farid Kamil disahkan positif dadah dan telah ditahan serta dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya, namun Diana tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Pelakon dan penyanyi Diana Danielle tampil menjawab dakwaan yang mengaitkan bekas suaminya, Farid Kamil, dengan isu penahanan seorang pelakon lelaki popular berhubung kes dadah baru-baru ini.
Mengulas spekulasi yang tular di media sosial itu, Diana menegaskan dia tidak mengetahui sebarang maklumat berkaitan dakwaan tersebut dan berharap perkara berkenaan tidak benar.
“Saya ada ditanya wartawan beberapa hari lepas tapi saya sejujurnya tidak tahu apa-apa dan apa yang saya boleh cakap, saya mendoakan yang terbaik.
“Saya harap benda itu tidak benar. Saya pun tidak boleh nak komen dengan lebih lanjut tentang isu ini sebab saya tidak tahu apa yang berlaku sekarang,” katanya.
Diana berkongsi perkara tersebut ketika ditemui bagi majlis perasmian produk Numinara di Menara Darussalam, Kuala Lumpur.
Dalam masa sama, Diana berharap apa jua yang berlaku tidak menjejaskan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa dalam membesarkan anak-anak.
“Semoga saya dan dia dapat jalankan tanggungjawab membesarkan anak dengan baik walau apa pun yang terjadi.
“Saya harapkan yang terbaik dan mahu dia berjaya. Bila kita dapat membesarkan anak sama-sama dengan baik, ia akan memberikan hasil yang terbaik juga buat anak-anak,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai hubungan Farid dengan anak-anak, Diana menafikan sebarang masalah dan memaklumkan bekas suaminya ada meluangkan masa bersama anak-anak termasuk ketika Muhammad dimasukkan ke hospital.
“Sudah tentu dia ada melawat. Anak-anak dan dia sangat rapat. Setiap minggu mereka akan berjumpa.
“Hubungan mereka masih sama kerana anak-anak tidak dapat hidup tanpa dia.
“Saya sentiasa menyokong perjalanan Farid bersama anak-anak kerana bagi saya sangat penting untuk mereka membesar dengan kehadiran figura seorang bapa,” katanya lagi.
Untuk rekod, Diana sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan pelakon Farid Kamil pada 3 November 2012.
Pasangan ini kemudian bercerai talak satu pada 10 Ogos 2023 namun mereka memilih untuk kembali rujuk selepas 21 hari berpisah.
Pun begitu, mahligai rumah tangga Diana dan Farid sekali lagi berakhir dengan penceraian pada 24 Mac 2025.
Sebelum ini, polis mengesahkan penahanan pelakon lelaki terkenal selepas ujian saringan air kencing ke atasnya didapati positif dadah.
Pelakon yang sebelum ini didapati positif dadah sudah pun dihantar kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Menerusi media sosial, netizen mengaitkan nama Farid sebagai artis yang terpalit dengan kes dadah tersebut.