Sekilas
- Pelakon Redza Rosli bersyukur selepas menyambut kelahiran cahaya mata sulungnya, Muhammad Aydrean Raess, pada 13 Januari lalu.
- Redza dan isteri, Bella Hanna, memilih untuk mengumumkan berita kelahiran secara lewat bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
- Redza menegaskan dia akan terus menyeimbangkan tanggungjawab sebagai ayah, suami, dan anak dalam kehidupan seharian.
Pelakon, Redza Rosli meluahkan rasa syukur selepas selemat menimang cahaya mata sulung baru-baru ini.
Menurut Redza atau nama lengkapnya Ahmad Redza Rosli, dia masih tidak percaya sudah bergelar sebagai seorang bapa.
"Saya rasa benda ini macam masih lagi tak percaya tapi macam mana pun perjalanan hidup ini berputar. Bagi saya perjalanan ini sangat indahlah Allah bagi. Rezeki bukan saja anak tetapi kesihatan, pekerjaan dan karier, pelbagai rezeki Allah bagi," katanya kepada Gempak.
Redza berkongsi perkara tersebut ketika menghadiri majlis pelancaran program Ramadan Astro 2026 pada Selasa.
Ditanya mengenai tindakan agak lewat mengumumkan berita kelahiran, Redza menjelaskan perkara tersebut diambil bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.
"Itu atas keputusan isteri (umum lambat). Kita pun bincang , risau kalau apa-apa jadi kan. Banyak isu semasa ini pun, bayi ada yang tak sampai ke dunia. Dalam kandungan pun ada yang meninggal dunia," jelasnya.
Dalam masa sama, pelakon drama Bisik-Bisik Gelora itu berkata bahawa kini isterinya dalam fasa berpantang dan dibawah pengawasan ibu dan ayah mentuanya.
"Sekarang ini isteri pantang dengan mak mentua sayalah, mama dia dengan papa dia dekat rumah. Jadi saya pun tengah terlibat dengan penggambaran, agak sibuk. Alhamdulillah saya dikurniakan keluarga mentua yang baik, menerima semua, senang.
"Dalam hati risau juga sebab masa isteri saya mengandung, dia lagi lebih suka duduk sorang-sorang. Isteri saya tahulah (faham) saya tengah menggalas tanggungjawab sepenuhnya. Insya-Allah," katanya lagi.
Redza juga turut menegaskan meskipun dia menggalas peranan seorang ayah kepada anak-anaknya, namun tanggungjawab sebagai seorang anak dan suami juga tidak akan diabaikan.
"Saya bersyukur dikurniakan cahaya mata, anak lelaki. Pengalaman orang kata tak banyak lagi, tapi tanggungjawablah, bukan sahaja pada anak, tapi terutamanya mak ayah kita masih hidup lagi.
"Tanggungjawab banyak sebagai seorang anak lelaki, bukan saja pada keluarga saya, tapi isteri saya, anak. Jadi apa pun saya insya-Allah saya akan terus ada, macam mana pun saya akan cuba pandai cari masa untuk kerja dan keluarga," ujarnya.
Pada 13 Januari lalu, isteri Redza iaitu pelakon Bella Hanna selamat melahirkan cahaya mata sulung bernama Muhammad Aydrean Raess.
Untuk rekod, Redza dan bella mendirikan rumah tangga pada 21 Jun 2024.