Pelakon Rebecca Nur Al Islam mengesahkan dirinya telah berpisah dengan suami, Datuk Nur Azman Sulaiman, selepas 14 tahun melayari bahtera perkahwinan.
Rebecca mengakui dia tidak menyangka hubungan yang dibina sekian lama akhirnya berakhir, namun memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai punca perpisahan mereka demi menjaga aib kedua-dua belah pihak.
“Sejujurnya saya pun terkejut dan tak sangka perkahwinan yang dibina akhirnya sampai di sini saja. Mungkin tiada jodoh antara kami.
"Saya tak perlu kongsikan punca bercerai sebab akan mengaibkan kedua-dua belah pihak. Rasanya apa yang boleh ditutup untuk simpan aib sendiri dan bekas suami, kita tutuplah.
"Hidup ni terlalu singkat, saya ikut saja apa yang sudah tertulis oleh Allah. Saya terima ketentuannya walau tak disangka,” katanya kepada Gempak.
Advertisement
Rebecca ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu Amber, Oasis 2.0 - Mirage: A Secret by The Desert yang berlangsung di butik Amber Flagship, Shangri-La Kuala Lumpur.
Katanya, kehadiran ke acara tersebut merupakan langkah awal untuk kembali bergaul selepas lama menyepi.
“Hari ini baru hari kedua saya betul-betul keluar rumah. Hari pertama saya pergi majlis resepsi Fattah Amin dan Amira Othman,” ujarnya.
Walaupun ada spekulasi mengaitkan perpisahan itu dengan kehadiran orang ketiga, Rebecca enggan memberi komen lanjut.
“No komen,” jawabnya ringkas, memberi isyarat bahawa dia ingin menutup lembaran lama dengan tenang.

Kini bergelar ibu tunggal kepada tujuh anak, Rebecca mengakui fasa selepas perpisahan bukan sesuatu yang mudah, namun dia sedang belajar untuk bangkit dan mencari kekuatan semula.
“Sejujurnya saya tengah down. Saya pun baru saja mula keluar jumpa orang. Sebelum ini saya banyak mendekatkan diri dengan dunia akhirat.
"Tapi bila fikir semula, saya ni dah nak mati ke? Jadi saya fikir, kenapa tidak saya keluar jumpa orang,” ujarnya.
Tambahnya lagi, semangatnya kini datang daripada anak-anak yang menjadi nadi kehidupannya.
“Saya kena bangkit dan cari semangat semula untuk teruskan kehidupan serta mencari rezeki demi tujuh orang anak saya.
"Pada masa sama, saya yakin setiap apa yang berlaku ada hikmahnya,” katanya.
Terdahulu, Rebecca menimbulkan tanda tanya apabila mengubah ruangan bio Instagramnya yang tertera 'Single Mother of 7' (ibu tunggal kepada tujuh anak).
Dalam hantaran lain, dia turut menulis mesej penuh emosi yang seakan memberi bayangan tentang pengakhiran rumah tangganya.
“18 tahun kita bersama. Semoga Allah SWT sentiasa memberkati kamu dengan kesihatan yang baik dan rezeki yang melimpah.
"Terima kasih yang tidak terhingga atas kenangan selama 18 tahun ini. Kita berusaha sebaik mungkin, namun Allah SWT adalah sebaik-baik perancang,” tulisnya.
Untuk rekod, Rebecca dan Datuk Nur Azman berkahwin pada 14 Januari 2011 dan dikurniakan enam cahaya mata selain seorang anak angkat, Nor Adam Daniel, yang kini berusia 16 tahun.
 
     
 
                                       
                                       
                                       
                                      