Sekilas
- All Star Influencers Award (ASIA) memperkenalkan Influencer Partnership Program (IPP) untuk membantu pempengaruh membina jenama dan produk sendiri serta menjadi usahawan muda yang berdaya saing.
- Program ini menyediakan sokongan dari pembangunan produk hingga pemasaran, dengan contoh kejayaan pempengaruh Sally Whoo yang berjaya mengembangkan perniagaannya sehingga mencatat jualan jutaan ringgit.
- ASIA merancang memperluaskan program ke peringkat antarabangsa dan turut menyokong promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui pelbagai acara sukan dan program bertaraf global.
Golongan pempengaruh media sosial kini digalakkan untuk melangkah lebih jauh dalam dunia perniagaan dengan membina jenama dan produk sendiri menerusi pelaksanaan Influencer Partnership Program (IPP) yang diperkenalkan oleh All Star Influencers Award (ASIA).
Menurut Pengerusi ASIA, Datuk Abd. Rahman Soltan, program tersebut diwujudkan bagi memberi peluang kepada pempengaruh untuk menghasilkan serta memasarkan produk mereka sendiri, sekali gus membantu mereka berkembang sebagai usahawan muda yang lebih berdaya saing.
Katanya, sebelum ini kebanyakan pempengaruh hanya berperanan mempromosikan atau mengulas produk milik pihak lain, namun melalui inisiatif tersebut mereka kini berpeluang memiliki jenama sendiri dan membina sumber pendapatan yang lebih stabil.
“Melalui program ini, kami memilih pempengaruh yang berpotensi untuk menghasilkan dan menjual produk mereka sendiri. ASIA bertindak sebagai badan induk yang membantu dari segi pembangunan produk sehingga pemasaran.
“Apabila mereka mempunyai jenama sendiri, mereka dapat membina sumber kewangan yang lebih kukuh dan mampan. Keuntungan pula dikongsi bersama. Ini adalah usaha kami untuk membantu anak muda berani berniaga dan membina jenama sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar All Star Influencers Award (ASIA) yang diadakan bersama 40 anak yatim dan 20 pelajar tahfiz, selain dihadiri lebih 100 pempengaruh tempatan.
Menurut Abd. Rahman, kejayaan pempengaruh dan selebriti popular Sally Whoo menerusi jenamanya turut menjadi bukti bahawa program tersebut mempunyai potensi besar untuk membantu pempengaruh membina empayar perniagaan sendiri.
Sally Whoo sebelum ini bermula dengan hanya dua produk sebelum berjaya mengembangkan perniagaan sehingga mencatat jualan mencecah jutaan ringgit.
“Rahsia kejayaannya ialah rajin mempromosikan produk sendiri termasuk aktif melakukan sesi siaran langsung bagi meningkatkan jualan.
"Program julung kali seumpamanya dilaksanakan ini adalah bagi membantu pempengaruh mengurus kewangan demi kestabilan hidup pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abd. Rahman turut memaklumkan bahawa pihaknya merancang memperluaskan program ASIA ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan lebih 20 negara Asia sejak 2023.
Program promosi digital yang dilaksanakan sebelum ini juga berjaya mencatat lebih 1.3 bilion tontonan di TikTok serta sekitar 600 juta tontonan di Instagram sepanjang tahun lalu.
Bagi tahun ini, ASIA turut memberi tumpuan untuk membantu mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) melalui pelbagai program dan acara bertaraf antarabangsa.
Antara perancangan yang sedang disusun termasuk penganjuran kejohanan tinju antarabangsa di Dubai yang melibatkan 10 negara, selain perlawanan bola sepak persahabatan Malaysia-Indonesia, kejohanan snuker serta beberapa acara sukan lain.
Menurut Abd. Rahman, segala persiapan bagi kejohanan tinju tersebut telah disiapkan sepenuhnya dengan pertandingan dijadual berlangsung pada 5 April ini di Dubai.
“Persiapan sudah dilakukan dan mendapat sambutan yang baik. Kini hanya menunggu masa untuk pertandingan berlangsung,” katanya.
Dalam pada itu, majlis berbuka puasa yang dianjurkan turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara pempengaruh dan masyarakat, selain menyemai nilai keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
“Program ini bukan sekadar menghimpunkan pempengaruh tetapi juga memberi peluang kepada mereka berkongsi rezeki dan menanam rasa keprihatinan kepada anak-anak yatim dan pelajar tahfiz,” katanya.