Sekilas
- Abdur Rahman Amir Ruddin, yang pernah tular selepas kehilangan enam ahli keluarganya dalam kemalangan di Segamat dua tahun lalu, kini sudah berkahwin.
- Berita perkahwinan itu dikongsikan melalui TikTok oleh seorang pengguna bernama @kayrule, menunjukkan Abdur Rahman memakai baju Melayu putih semasa majlis akad nikah.
- Netizen memberikan ucapan tahniah dan doa agar perkahwinan Abdur Rahman berkekalan, walaupun butiran majlis seperti nilai hantaran tidak didedahkan.
Pernah tular dengan berita enam ahli keluarganya maut dalam nahas kemalangan jalan raya di Segamat dua tahun lalu, Abdur Rahman Amir Ruddin kini bergelar suami orang.
Berita gembira itu dikongsikan seorang individu yang dikenali sebagai @kayrule menerusi hantaran di TikTok.
Menrusi perkongsian dibuat, kelihatan Abdur Rahman yang segak berbusana baju Melayu berona putih duduk berhadapan dengan jurunikah.
“Semoga menjadi suami yang soleh, man (Abdur Rahman),” kongsinya.
Walau bagaimanapun, butiran majlis seperti nilai hantaran tidak dikongsikan kepada umum.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan ucapan tahniah dan mendoakan agar perkahwinan Abdur Rahman berkekalan.
Sekadar info, Abdur Rahman kehilangan ibu bapanya, Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhammad, 43, serta empat adik-beradik iaitu Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan pada 1 September 2023.
Seorang lagi adiknya, Abdullah Amir Ruddin yang kini berusia 17 tahun terselamat selepas dilaporkan mengalami cedera parah.
Sumber: TikTok