Sekilas
- Seorang pelanggan Rembayung secara tidak sengaja terbawa pulang senduk restoran selepas membungkus makanan dan hanya sedar selepas makan di rumah.
- Pelanggan itu bergurau mahu memulangkan senduk tersebut jika diberi peluang makan sekali lagi di Rembayung.
- Khairul Aming dan netizen turut terhibur dengan kejadian itu, meninggalkan komen lucu di media sosial.
Sejak mula dibuka, restoran Rembayung milik usahawan dan pempengaruh terkenal Khairul Aming terus menjadi bualan hangat netizen di media sosial.
Terbaharu, seorang pelanggan mencuri perhatian ramai apabila berkongsi kisah lucu secara tidak sengaja terbawa pulang senduk milik restoran Rembayung selepas membungkus makanan.
Menerusi perkongsian di media sosial, individu berkenaan memaklumkan kejadian itu hanya disedari selepas dia menikmati makanan tersebut di rumah.
“Bila pergi @rembayungmy lepas tu makan tak habis, so kami bungkus. Bila makan kat rumah, eh ada senduk Rembayung dalam bekas ni. Macam mana ni nak pulangkan, jauh,” tulisnya berseloroh.
Lebih menghiburkan, pelanggan itu turut bergurau kononnya sanggup memulangkan semula senduk berkenaan sekiranya diberikan slot untuk makan sekali lagi di Rembayung.
“Kalau pergi hantar, boleh dapat slot lanin ke @khairulaming?” katanya disertakan emoji lucu.
Perkongsian itu nyata mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk pemilik restoran sendiri, Khairul Aming yang tampil memberikan respons terhadap hantaran berkenaan.
“Saya tak tahu nak respons apa,” tulisnya sambil memuat naik foto reaksi wajah rakannya yang juga pempengaruh, Azfar Heri.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut terhibur dengan situasi berkenaan dan meninggalkan komen berseloroh.
“Sis dapat blindbox take away istimewa dari Rembayung! Tahniah.
“Ini hadiah selamat tinggal.
“Dapat lah doorgift Rembayung,” komen beberapa netizen.