Sekilas
- Nur Sajat Kamaruzzaman berkongsi keadaan kesihatan yang kurang baik sejak hampir dua minggu lalu akibat batuk kering yang teruk hingga menyebabkan muntah dan kesukaran bernafas.
- Sajat memohon maaf kepada sesiapa yang pernah terasa hati dengannya dan memohon doa daripada pengikutnya untuk kesembuhan.
- Walaupun kini menetap di Australia, Sajat masih menerima sokongan moral daripada pengikutnya di Malaysia yang mengikuti perkembangan terkininya.
Usahawan dan personaliti media sosial, Nur Sajat Kamaruzzaman, berkongsi keadaan kesihatan dirinya yang kurang baik sejak hampir dua minggu lalu.
Menerusi satu hantaran di Instagram Stories, Sajat mengakui sedang melalui ujian berat apabila diserang batuk kering yang tidak berhenti, sehingga menyebabkan muntah, badan lemah serta kesukaran bernafas.
Dalam keadaan sebak, Sajat turut memohon maaf kepada sesiapa yang pernah terasa hati dengannya dan memohon doa daripada para pengikut.
“Kalau selama ni ada salah atau silap dari Sajat, Sajat mohon maaf sebab sekarang ni Sajat sendiri tengah diuji.
“Hampir dua minggu batuk kering, makan pun muntah, badan tak menentu, hingus dan kahak tak berhenti. Kadang rasa kuat, kadang rasa hilang nafas.
“Sajat cuma minta satu... doa dari kalian,” tulisnya.
Menurut Sajat lagi, sakit yang dialami semakin memeritkan sehingga membuatkan dirinya terasa luluh.
“Batuk ni sakit sangat sampai buat hati luluh. Terima kasih kerana masih ada untuk Sajat,” katanya.
Sajat kini menetap di Australia selepas berhijrah beberapa tahun lalu. Walaupun jauh, pengikutnya di Malaysia masih mengikuti perkembangan terkininya dan sentiasa memberi sokongan moral.