Finalis Malaysian Host Wanted (MHW), Meyra Khan menerbitkan dan membintangi episod pilot atau episod percubaan bagi rancangan ciptaannya sendiri berjudul “Viral Kita Trial”.
Meyra Khan tampil memegang dua peranan utama sebagai pengacara dan juga hakim, menerajui sebuah rancangan berbentuk satira mahkamah yang sarat dengan elemen komedi dan perbincangan kritikal.
Viral Kita Trial mengetengahkan isu-isu tular di media sosial, yang kemudian dibahaskan secara santai namun berfakta, sebelum satu konklusi dicapai terhadap isu viral tersebut.
Untuk episod pilot ini, Meyra Khan akan ditemani oleh dua tetamu undangan istimewa iaitu pempengaruh dan penulis skrip Adza Irda, serta pelakon dan pelawak terkenal Bell Ngasri.
Gabungan perspektif kreatif, pengalaman industri dan elemen komedi menjadikan perbincangan isu-isu viral lebih segar, relevan dan dekat dengan penonton.
30 minit pertama episod ketiga akan memaparkan belakang tabir perjalanan Meyra Khan dalam menghasilkan episod pilot Viral Kita Trial bermula daripada pembangunan konsep, penyusunan kandungan, cabaran produksi, sehinggalah proses penggambaran sebenar.
Segmen ini memberi gambaran realistik tentang tekanan dan tanggungjawab seorang hos yang turut bertindak sebagai penerbit kandungan.
Manakala 30 minit seterusnya akan menampilkan tayangan penuh episod pilot Viral Kita Trial, disusuli sesi tontonan dan penilaian oleh barisan juri.
Episod ini akan disaksikan dan dikritik secara profesional oleh hos dan juri tetap Sherry Al-Hadad, bersama dua juri berpengalaman industri, Datuk Aznil Haji Nawawi dan Awal Ashaari, serta rakan-rakan wartawan yang turut memberikan reaksi dan kritikan membina.
Pemenang Malaysian Host Wanted bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, selain peluang membuka laluan kerjaya sebenar sebagai hos di Astro menjadikan rancangan ini platform realistik untuk melahirkan hos berkualiti tinggi yang bersedia menghadapi industri sebenar.
Anda juga berpeluang untuk mengundi finalis Malaysian Host Wanted di laman web Gempak. 30 undian diberikan setiap hari.
Malaysian Host Wanted bersiaran setiap Khamis jam 11.30 malam di Astro Ria.