Skip to main content

Hiburan

Lukisan Dijual Cecah Ribuan, Shikin Maembong Kini Pelukis Sepenuh Masa - “Potret Biasanya Lebih Mahal”

Shikin Maembong

Sekilas

  • Shikin Maembong kini fokus sepenuhnya dalam bidang seni lukis selepas berhenti berniaga, dengan sokongan penuh daripada suaminya, Cat Farish.
  • Dia menerima banyak tempahan lukisan melalui media sosial seperti TikTok dan tidak lagi bergantung kepada pameran seni untuk menjual karya.
  • Harga lukisannya bermula dari RM200 hingga RM3,000, bergantung kepada bajet pelanggan, dengan lukisan paling mahal pernah terjual sekitar RM6,000.

Isteri kepada penyanyi dan komposer, Cat Farish iaitu Shikin Maembong berkata dia kini memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang seni lukis selepas mengambil keputusan untuk tidak lagi berniaga. 

 

Menurut Shikin, keputusan tersebut turut mendapat sokongan penuh daripada suaminya yang bukan sahaja memahami minatnya itu, malah turut membantu memasarkan hasil lukisan kepada orang ramai.

 

“Sekarang saya fokus sepenuh masa dengan melukis. Memang ada rasa sayang nak tinggalkan perniagaan, tetapi mungkin satu hari nanti saya akan buka galeri seni sendiri dengan kafe kecil,” katanya kepada Gempak.

 

Kata Shikin lagi, bidang seni lukis memerlukan fokus yang tinggi selain tidak boleh terganggu dengan  perkara lain kerana ia boleh menyebabkan tempoh menyiapkan lukisan itu ambil masa lama.  

 

“Kalau kerap terganggu, lukisan boleh terbengkalai lama. Sekarang saya melukis setiap hari dan dengan adanya media sosial, tempahan semakin banyak. Sebab itu saya pilih untuk fokus sepenuhnya pada seni lukis.

 

“Kalau betul-betul fokus, dalam tempoh tiga hari saya boleh siapkan dua lukisan. Cuma kalau tema kebudayaan, biasanya mengambil masa sekitar seminggu kerana perlukan banyak perincian,” ujarnya.

 

Shikin memberitahu diai menerima banyak tempahan secara dalam talian terutamanya menerusi platform TikTok dan tidak lagi bergantung kepada pameran kesenian untuk menjual hasil karya.

 

Berkongsi mengenai harga karya, Shikin berkata dia bermula dengan harga mampu milik kerana masih membina nama dalam industri seni lukis.

 

Setakat ini harga lukisannya hanyalah sekitar RM3,000, manakala tempahan melalui media sosial lebih fleksibel bergantung kepada bajet pelanggan.

 

“Ayah pernah pesan, kena bina nama dulu. Pada peringkat awal, saya jual lukisan sekitar RM200 hingga RM500. Bila nama dah dikenali, barulah harga boleh dinaikkan.

 

“Potret biasanya lebih mahal. Harga ikut bajet pelanggan. Lukisan paling mahal pernah terjual setakat ini sekitar RM6,000,” katanya lagi.

 

Must-Watch Video

Advertisement