Skip to main content

Kesihatan/Kesejahteraan

Kongsi Pengalaman IVF, Siti Nurhaliza Mahu Bantu Lebih Ramai Wanita Melalui Pelancongan Kesihatan Malaysia - "Kenalan Sering Tanya Di Mana Hospital Terbaik..."

siti_ivf

Sekilas

  • Datuk Seri Siti Nurhaliza, Duta Jenama Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2026, aktif mempromosikan keupayaan sektor kesihatan negara melalui pelbagai platform media sejak dilantik Julai lalu.
  • Malaysia diiktiraf sebagai destinasi rawatan pilihan dengan kepakaran bertaraf dunia dalam rawatan jantung, kanser, dan persenyawaan in-vitro (IVF), yang turut dikongsi oleh Siti berdasarkan pengalamannya sendiri.
  • Siti menyeru rakyat Malaysia menyokong kempen MYMT 2026 untuk mengukuhkan industri pelancongan kesihatan yang memberi impak positif kepada ekonomi negara.

Duta Jenama Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia (MYMT) 2026, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin terus menunjukkan komitmen tinggi dalam mengangkat martabat perubatan negara ke pentas antarabangsa.

Sejak dilantik pada Julai lalu, penyanyi tersohor itu aktif mempromosikan keupayaan sektor kesihatan Malaysia melalui pelbagai platform media dan penampilan rasminya.

Menurut Siti, usaha promosi sudah mula dijalankan secara berperingkat, termasuk penerbitan video, perkongsian maklumat dan hebahan mengenai kepakaran hospital tempatan kepada pengikutnya di seluruh rantau.

“Saya berharap sebagai orang yang dikenali di Malaysia, Indonesia dan Singapura, saya turut membantu memperluaskan capaian kempen promosi MYMT melalui platform-platform media dan kemunculan ini.

"Ramai peminat serta kenalan luar negara juga sering bertanyakan pandangan mengenai hospital swasta tempatan termasuk mereka yang datang hanya untuk pemeriksaan kesihatan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Hospital Pelancongan Perubatan Utama Malaysia 2025 di Damansara, Kuala Lumpur.

Siti juga menyifatkan peningkatan minat terhadap rawatan di Malaysia sebagai bukti kukuh bahawa negara semakin mendapat kepercayaan sebagai destinasi rawatan pilihan.

Mengulas tentang rawatan yang menjadi tumpuan pelancong kesihatan, Siti berkata Malaysia memiliki kepakaran bertaraf dunia dalam rawatan jantung, kanser dan persenyawaan in-vitro (IVF).

"Ramai melihat saya salah seorang daripada wanita yang melalui rawatan IVF untuk mendapatkan cahaya mata. Jadi, ramai kenalan tempatan dan dari Indonesia juga sering bertanya saya, di mana lokasi terbaik untuk mendapatkan rawatan IVF.

"Sebenarnya kita juga punyai banyak hospital hebat di Malaysia yang menawarkan rawatan UVF yang terbaik. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia, ada ramai pakar yang terbaik di negara kita," tambahnya.

Siti juga berkongsi bahawa lawatannya ke beberapa hospital terkemuka negara membuka lebih banyak ruang pengetahuan tentang teknologi dan kepakaran yang ditawarkan, sekali gus menggerakkannya untuk berkongsi maklumat tersebut kepada mereka yang memerlukan rawatan khusus.

Dalam masa sama, Siti menyeru rakyat Malaysia untuk turut menyokong promosi MYMT 2026 memandangkan kejayaan kempen ini mampu memberikan kesan langsung kepada ekonomi negara.

“Kalau kita sendiri tidak menyokong industri kesihatan negara, siapa lagi?

"Saya juga yakin Malaysia mampu menjadi pusat rawatan dan hab terbaik dunia melalui gabungan kepakaran, destinasi menarik dan tawaran pelancongan bertaraf antarabangsa," ujarnya.

Selain rawatan perubatan, permintaan terhadap perkhidmatan kecantikan, penjagaan kesihatan dan gaya hidup sihat semakin meningkat, sekali gus mengukuhkan potensi Malaysia sebagai hab pelancongan kesihatan serantau.

Must-Watch Video

Advertisement