Sekilas
- Tom Holland berhenti minum alkohol sejak awal 2022 dan mengakui ia mengubah hidupnya menjadi lebih baik dan terurus.
- Sejak berhenti, Holland merasakan kariernya berkembang dengan baik dan dia lebih yakin tanpa bergantung pada alkohol.
- Holland pernah menghadapi cabaran meninggalkan alkohol secara perlahan-lahan melalui Dry January dan kini bangun pagi dengan kepala jernih dan semangat baru.
Aktor Tom Holland mendedahkan keputusan berhenti minum alkohol pada awal 2022 telah merubah kehidupannya yang disifatkan menjadi lebih baik dan terurus.
Bintang Spider-Man ini juga mengaku sejak tidak lagi menyentuh alkohol empat tahun lalu, bukan hanya kehidupan tetapi perjalanan kariernya juga berkembang. Holland berasa beruntung kerana telah meninggalkan tabiat yang pernah ‘hidup’ bersamanya selama bertahun-tahun sbeelum ini.
Pengakuan tersebut dibuat dalam sebuah temu bual di majlis Bero Padel Classic di Los Angeles, lapor The Independent UK.
"Saya berasa sangat beruntung dalam empat tahun terakhir ini kerana karier saya berkembang dengan sangat indah. Saya suka apa yang terjadi kerana saya tidak tahu jika masih menjadi kaki mabuk dan minum alkohol, adakah semua pekerjaan yang ada sekarang akan wujud,” kata Holland.
Dałam temu bual itu, Holland mengaku alkohol menjadi hambatan dałam hidupnya sebagai aktor. Katanya sebagai aktor dan menjadi tumpuan merupakan situasi yang menegangkan namun dia tidak mahu selamanya bergantung kepada alkohol untuk membantu dirinya berasa tenang.
“Secara peribadi, alkohol menambahkan masalah dan memperburukkan situasi. Sejak berhenti minum dan berasa lebih seperti diri sendiri, bangun pagi dengan kepala yang ‘jernih’ dan semangat baru, saya berasa lebih yakin diri,” ujar Holland.
Holland sebelum ini pernah berkongsi tentang usaha meninggalkan tabiat minum alkohol secara perlahan-lahan dengan menyahut cabaran Dry January. Pada awalnya, lelaki berusia 29 tahun itu mengaku sukar dan berasa tidak mampu meninggalkan alkohol namun tekad kuatnya membantu dirinya sendiri sebagai pernyataan keras bahawa dirinya bukan seorang kaki botol.