Sekilas
- Kak KM menafikan dakwaan bahawa dia menceritakan isu rumah tangga kakaknya, Kak Nona, yang kini tular di media sosial.
- Dia menjelaskan bahawa segala pendedahan mengenai masalah keluarga itu dibuat oleh individu terlibat sendiri, bukan dari pihaknya.
- Kak KM turut meluahkan rasa kecewa kerana tuduhan tersebut mengganggu dirinya yang selama ini memilih untuk berdiam diri mengenai hal peribadi keluarga.
Pempengaruh dan usahawan popular Kak KM meluahkan rasa kecewa apabila namanya dikaitkan dengan dakwaan mencanang isu rumah tangga kakaknya, Kak Nona, yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Menurut Kak KM, dia sama sekali tidak pernah membuka atau menyebarkan sebarang cerita berkaitan peribadi ahli keluarganya itu, sebaliknya perkara tersebut didedahkan sendiri oleh individu terlibat.
“Saya tak pernah pun nak sebut mengenai rumah tangga dia. Apa yang terjadi, dia yang sebut sendiri, dia punya kehidupan, dia yang cakap.
“Bila orang tanya, ‘Kak Nona, suami mana? Dia balik kampung’. Selepas itu, suami dia buat sesi siaran langsung. ‘Abang, mana Kak Nona? Abang tengah sesi memujuk’.
“Jadi, jangan petik nama saya, cakap saya yang kata nak bercerai, demi Allah saya tak pernah cakap dia nak bercerai.
“Lagi pun, buang masa nak cerita pasal hal orang. Betul tak? Rumah tangga kita belum tentu lagi. Tak payahlah nak petik-petik nama saya,” katanya.
Kak KM ditemui ketika menghadiri acara Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Selasa.
Tambahnya, tuduhan yang dilemparkan itu benar-benar membuatkan dirinya berasa terganggu kerana selama ini dia memilih untuk berdiam diri dan tidak menghebahkan sebarang masalah keluarga walaupun pernah melalui konflik peribadi.
“Saya tak pernah langsung buka cerita pasal dia. Perkara ini akan trigger saya sampai saya bercakap sebegini.
"Setahun lebih kita bergaduh, tiada siapa yang tahu pun. Kita tak nak bercakap pun, kita diam je. Bila jadi macam ni, petik pula benda yang salah, fitnah saya,” katanya lagi.