Sekilas
- Aisha Retno mengakui berasa tertekan namun bersemangat menerima tawaran menjadi juri Big Stage X Rocketfuel walaupun perlu menyesuaikan dengan jadual kerja dan kesihatan.
- Dia terbuka menerima kritikan dan berhasrat membantu melahirkan bakat baharu dengan pendekatan juri yang profesional, adil, dan memberi galakan.
- Big Stage X Rocketfuel menampilkan 10 peserta yang akan bersaing selama lapan minggu dengan hadiah utama kontrak pembangunan artis bernilai sehingga RM200,000.
Diberikan mandat sebagai salah seorang juri bagi program Big Stage X Rocketfuel, penyanyi dan komposer Aisha Retno mengakui berasa tertekan menggalas tanggungjawab tersebut.
Menurut Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, dia juga mengambil masa yang agak lama untuk membuat keputusan kerana memikirkan beberapa faktor seperti jadual kerja yang padat, keadaan kesihatan serta tanggungjawab besar sebagai seorang juri.
Walau bagaimanapun, pelantun lagu Tidak Adil ini menganggap peluang ini boleh dijadikan sebagai satu platform untuknya mempelajari sesuatu yang baharu.
“Sejujurnya sangat pressure. Apabila Aisha dilamar untuk menjadi salah satu panel juri, sebenarnya Aisha berfikir lama atas beberapa perkara.
“Alhamdulillah Allah bagi rezeki tahun ini, jadual saya agak padat. Yang kedua, atas beberapa faktor kesihatan Aisha untuk jadual juga dan yang ketiga sudah tentu tekanan untuk menjadi jadi juri jika hendak dibandingkan dengan dari juri-juri yang profesional sebenarnya.
“Menjadi seorang juri, saya ingin melihat baka-bakat baru ini. Mereka juga akan memberi pendedahan kepada saya mengenai cara nyanyian jadi satu persekitaran untuk kita belajar juga.
“Juri pun boleh belajar juga daripada peserta dan kita pun memberi apa yang harus diberi dari segi ilmu dan sebagainya,” katanya kepada Gempak.
Aisha berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pengenalan 10 peserta Big Stage X Rocketfuel bertempat di Astro Bukit Jalil pada Selasa.
Tambah Aisha, dia juga sudah bersedia dan terbuka menerima sebarang kritikan segelintir pihak mungkin akan mempertikaikan kredibilitinya sebagai juri memandangkan usianya masih muda.
Ujar penyanyi berusia 25 tahun ini, segala komen yang diterima akan dijadikan sebagai satu perkara positif bagi membantunya menjalankan tanggungjawab sebagai juri dengan baik.
“Saya terima dengan hati yang sangat terbuka. Kritikan semuanya sudah jadi alah bisa tegal biasa buat Aisha.
“Jadi apa-apa pun saya terima dan hadamkan. Saya akan ‘translate’ menjadi satu perkara yang positif sepanjang menjadi salah satu panel juri.
“Yang mana-mana yang ada salah ke sepanjang minggu, Aisha sebagai juri pun berhak juga untuk ditegur,” ujarnya.
Dalam masa sama, Aisha menjelaskan bahawa kehadirannya di kerusi juri bukanlah untuk mencari perhatian, sebaliknya mahu membantu melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam industri muzik tempatan.
“Saya bukan ingin dilihat, saya ingin membantu. Saya ingin menjadi seseorang pemangkin yang membantu bersama lagenda hebat kita seperti Abang Hael Husaini dan juga Abang Ajai.
“Aisha di sini sebagai alumni yang cuba berkongsi pengalaman, apa yang boleh dibuat dan apa yang tak perlu dibuat peserta” katanya.
Ditanya mengenai pendekatan penjurian yang bakal dibawakan, Aisha berkata dia tidak bercadang untuk menjadi juri yang terlalu garang atau terlalu lembut.
Sebaliknya, dia akan menilai setiap persembahan secara profesional dan adil sambil memberi galakan kepada peserta untuk terus memperbaiki kelemahan mereka.
“Saya hanya akan menjadi diri sendiri. Untuk siapa yang mengenali saya selama tujuh hingga lapan tahun dalam industri, saya boleh jadi seorang yang santai dan menyeronokkan.
“Tapi untuk menjadi juri, saya juga akan menjadi neutral sebaik mungkin. Yang mana memang nampak bagus Aisha akan puji, yang tak bagus Aisha akan cuba untuk bina lagi dan motivasikan dia menjadi yang better,” katanya.
Terdahulu, Aisha diperkenalkan sebagai salah seorang juri bagi program nyanyian Astro iaitu Big Stage X Rocketfuel.
Selain Aisha, antara barisan juri yang dipilih bagi mengadili 10 peserta termasuklah Hael Husaini dan Akim Ahmad.
Untuk musim yang ketujuh ini, seramai 10 peserta bakal bersaing yang terdiri daripada Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina serta duo Adam & Nazmie.
Sepanjang lapan minggu pertandingan, para peserta bakal berentap dengan tiga pemenang utama bakal menerima Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 secara keseluruhan.
Hadiah itu merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.
Dihoskan oleh Nabil Ahmad, jangan lupa untuk saksikan Big Stage X Rocketfuel bermula 28 Jun ini pada jam 9 malam di Astro Ria serta strim episod penuh menerusi Astro GO dan Sooka.