Skip to main content

Viral

"Itu Pandangan Umum Saya" - Nabila Razali Tenang Ulas Isu Hantaran Threads, Tidak Tuju Pada Sesiapa

nabila_razali_threads

Sekilas

  • Nabila Razali menjelaskan hantaran di Threads bukan ditujukan kepada sesiapa secara khusus, sebaliknya pandangan umum sebagai pengguna media sosial.
  • Beliau akui kenyataannya disalah tafsir dan menerima komen negatif termasuk serangan terhadap kisah silamnya.
  • Nabila turut kesal dengan komen toksik dari akaun meragukan identiti dan menegaskan dia berhak berkongsi pendapat walaupun risiko salah faham wujud.

Penyanyi dan pelakon Nabila Razali tampil mengulas berhubung hantaran yang pernah dimuat naiknya di Threads sebelum ini yang mencetuskan pelbagai tafsiran dalam kalangan netizen.

Menurut Nabila, hantaran tersebut tidak pernah ditujukan kepada mana-mana individu secara khusus, sebaliknya lahir daripada pandangan umum yang dikongsikan sebagai pengguna media sosial biasa.

“Saya sebenarnya tak berani nak ulas lanjut mengenai perkara ini, seperti semua orang, masing-masing ada pandangan sendiri dan itu pendapat saya sendiri. 

"Saya tak tujukan kepada sesiapa atau bermaksudkan apa-apa pun cuma ia lebih kepada pandangan umum saya, yang saya merasakan jika nak menilai seseorang itu janganlah menilai pada cerita peribadi dalam apa jua keadaan sekali pun,” katanya kepada Gempak.

Pelantun lagu Balas Baik itu ditemui pada pertunjukan fesyen Rico Rinaldi Summeraya 2026 di Taman Tun Dr Ismail pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Nabila mengakui setiap individu mempunyai interpretasi tersendiri dan situasi itu menyebabkan kenyataannya disalah tafsir oleh segelintir pihak.

“Apa saya boleh katakan, semua orang ada interpretasi masing-masing dan saya pun tak berani nak ulas panjang. Apa jua orang cakap nanti mungkin orang akan salah faham lagi dan cakap benda lain juga. Saya tengok reply di Threads pun sudah ke mana-mana.

“Patutnya saya hentikannya, ada juga yang sarankan saya padam hantaran itu. Saya rasa itu pendapat umum saya, jadi hormatilah, sama juga pandangan kalian di sana, saya juga menghormatinya. Jadi saya baca saja,” jelasnya.

Tambah Nabila lagi, sebagai pengguna media sosial, dia juga berhak untuk berkongsi pandangan, namun menyedari risiko salah faham yang mungkin timbul.

“Bila dah ditafsirkan dengan maksud yang salah, kita tak boleh buat apa-apa. Bagaimanapun kita cuba perbetulkan, kalau orang nak fikir ke situ, orang akan fikir situ. Sebelum saya tulis hantaran itu pun, saya dah fikir panjang.

“Tapi kadang-kadang jadi lain, sebagai pengguna media sosial, saya pun nak ada pendapat. Mungkin pada masa itu orang beranggapan saya nak tujukan kepada seseorang, sedangkan tidak pun, saya tak boleh buat apa-apa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nabila mengakui apabila perbincangan sudah hilang arah, ada pihak yang kembali mengungkit kisah silamnya sebagai bahan serangan.

“Bila orang dah habis modal nak jawab, mereka akan bawa balik benda lama. Saya tak marah, apa lagi? Semua orang tahu saya pernah terkucil, apa saya buat tahun-tahun lepas.

“Saya akan baca, jangan ulang balik benda-benda lama. Kalau saya nak tengok balik pun, saya boleh cari saja, tak perlu share. Saya boleh maafkan, tapi saya tak lupa,” ujarnya jujur.

Lebih membimbangkan, Nabila turut menyentuh kewujudan komen toksik daripada akaun yang meragukan identiti mereka.

“Jujurnya saya ingat nama-nama akaun yang komen melebih-lebih. Saya tak salahkan Threads, bukan salah media sosial tapi sesetengah pengguna yang toksik, mungkin ada yang bawah umur, lelaki menyamar wanita, wanita bercakap macam tak ada keluarga, saya pun tertanya-tanya juga mana datangnya ayat-ayat mereka ini,” katanya.

Minggu lalu hantaran Nabila berbunyi 'It’s funny how some people judge singing by personal life, not by voice' di Threads telah mengundang pelbagai spekulasi dan mengaitkan ia ditujukan kepada individu tertentu hingga menjadi polemik di media sosial.

Netizen turut bertindak secara agresif dengan mengkritik bakat Nabila selain berkongsi potongan video persembahan nyanyiannya sebelum ini.

Must-Watch Video

Advertisement