Sekilas
- Video tular menunjukkan Beatrice Chitra, menantu Sheila Rusly, berbalas mulut dengan ibu mertuanya secara santai dan menghiburkan di media sosial.
- Dalam video itu, Beatrice menjawab dengan selamba apabila Sheila bertanya tentang hidangan yang dimasak dan kuih-muih yang disediakan.
- Beatrice dan Luth Mikael, anak kedua Sheila Rusly, telah melangsungkan perkahwinan secara sederhana, dan Beatrice memeluk Islam pada Ogos 2024.
Menantu kepada pelakon dan pengarah terkenal, Sheila Rusly iaitu Beatrice Chitra menarik perhatian warganet apabila hantaran video bersama ibu mertuanya itu tular di media sosial.
Menerusi perkongsian seorang pengguna di Threads, individu tersebut terhibur dengan kerenah Beatrice yang dilihat berbalas mulut dengan Sheila, figura yang terkenal dengan ketegasan dan personaliti garangnya dalam dunia seni.
"Menantu Sheila Rusly yang nombor 2 ini memang kuat melawan sikit. Melawan hukum ni," tulis individu berkenaan.
Dalam video tersebut, Sheila bertanya sama ada hidangan di atas meja itu sahaja yang dimasak oleh Beatrice.
Soalan itu kemudian dibalas dengan jawapan spontan dan bersahaja oleh Beatrice.
"Ye mama yang cakap nak simple-simple sahaja," kata Beatrice.
Apabila Sheila bertanya lagi sama ada menantunya itu menyediakan kuih-muih, Beatrice sekali lagi menjawab dengan selamba bahawa perkara tersebut tidak dimaklumkan dengan awal sebelum ini.
"Mama tak cakap nak buffet," ujarnya.
Terdahulu, anak kedua Sheila Rusly iaitu Luth Mikael selamat mendirikan rumah tangga bersama Beatrice dalam sebuah majlis sederhana.
Untuk rekod, Beatrice yang berbangsa Cina dan berasal dari Jakarta, Indonesia telah memeluk Islam pada Ogos 2024.