Skip to main content

Berita Tempatan

Gen Pagi Sinar Santuni Pelajar SPM Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih KL - "Kami Harap Ia Jadi Pembakar Semangat"

Astro Gempak gen spm

Sekilas

  • Gen Pagi SINAR melawat Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih Kuala Lumpur untuk menyantuni 10 pelajar yang berjaya lulus SPM 2025, sambil memberi sokongan moral dan wang raya sempena Hari Raya.
  • Lawatan ini menonjolkan usaha SINAR dalam memperkasakan komuniti dan memberi peluang kepada pelajar dari latar belakang mencabar untuk terus berjaya dalam pendidikan.
  • Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih menyediakan kemudahan lengkap dan bimbingan berterusan bagi membina masa depan pelajar yang menghadapi pelbagai cabaran sosial dan ekonomi.

Gen Pagi SINAR hari ini telah mengadakan lawatan khas ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih Kuala Lumpur bagi menyantuni para pelajar yang baru menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, yang diumumkan secara rasmi hari ini.

Seramai 10 orang pelajar dari sekolah bimbingan tersebut telah berjaya memperoleh sijil SPM dan lulus sepenuhnya, satu pencapaian yang amat membanggakan mengambil kira latar belakang serta cabaran kehidupan yang dihadapi oleh kebanyakan pelajar di sekolah berkenaan.

Lawatan ini diketuai Gen Pagi SINAR terdiri daripada Sharifah Shahira, Roy Azman dan Hefny Sahad sebagai tanda sokongan moral, penghargaan dan keprihatinan terhadap usaha pelajar-pelajar ini yang terus berjuang dalam menuntut ilmu walaupun berdepan kekangan hidup yang besar.

Menurut Pengurus Jenama SINAR, Zureen Affendi, inisiatif Gen Pagi SINAR menyantuni pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih ini adalah selari dengan nilai teras SINAR yang sentiasa menitikberatkan kepedulian sosial serta usaha memperkasakan komuniti.

“Kami hadir bukan semata-mata untuk meraikan keputusan peperiksaan, tetapi yang lebih penting adalah untuk menyuntik semangat, memberi keyakinan dan menunjukkan bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjalanan hidup ini. Pencapaian 10 orang pelajar yang lulus SPM hari ini membuktikan bahawa walaupun datang daripada latar belakang yang serba kekurangan, mereka tetap mampu berjaya apabila diberi peluang, bimbingan dan sokongan yang berterusan,” katanya.

Zureen turut menegaskan bahawa SINAR melihat keputusan SPM ini sebagai permulaan, bukan penamat kepada perjalanan pendidikan para pelajar.

“Kami amat berharap pencapaian ini menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, sama ada ke kolej vokasional, politeknik, institusi kemahiran atau institusi pengajian tinggi. Masa depan mereka masih luas dan terbuka, dan SINAR mahu mereka percaya bahawa mereka layak untuk bermimpi lebih besar serta membina kehidupan yang lebih baik,” tambah beliau.

Pengumuman keputusan SPM kali ini turut menjadi lebih bermakna kerana ia berlangsung dalam bulan Syawal, bulan yang sinonim dengan kemenangan, kesyukuran dan permulaan baharu.

Sehubungan itu, Gen Pagi SINAR turut mengambil kesempatan untuk menghulurkan wang raya kepada para pelajar sebagai tanda kegembiraan, sokongan moral dan meraikan kejayaan mereka dalam suasana Hari Raya.

“Kami mahu para pelajar ini merasai kemeriahan Syawal seperti rakan-rakan mereka yang lain. Walaupun jumlahnya tidak seberapa, ia adalah simbol sokongan dan kasih sayang daripada warga SINAR kepada adik-adik ini, semoga ia menceriakan mereka dan menjadi kenangan manis dalam hidup,” ujar Zureen.

Dalam lawatan tersebut, Gen Pagi SINAR juga berpeluang mengenali dengan lebih dekat peranan penting Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih sebagai sebuah institusi yang memberi peluang kedua kepada pelajar-pelajar daripada keluarga tidak bernasib baik, hidup dalam serba kekurangan, serta berdepan cabaran apabila ibu bapa atau penjaga terpalit dengan pelbagai gejala sosial.

Walaupun datang daripada latar belakang yang mencabar, kebajikan pelajar di sekolah ini sentiasa diberi keutamaan. Antara kemudahan yang disediakan termasuk asrama, makan dan minum yang mencukupi, persekitaran pembelajaran yang selamat serta bimbingan akademik dan sahsiah yang berterusan.

“Kami amat menghargai usaha dan keikhlasan pihak sekolah dalam membentuk jati diri serta masa depan pelajar-pelajar ini. Apa yang dilakukan oleh Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih bukan sekadar mengajar akademik, tetapi membina semula harapan dan keyakinan dalam diri anak-anak ini,” jelas Zureen lagi.

Gen Pagi SINAR berharap kunjungan dan inisiatif sebegini bukan sahaja memberi motivasi kepada para pelajar, malah dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menyokong institusi pendidikan dan kebajikan yang menjadi pelindung kepada golongan yang memerlukan.

“Kami di SINAR percaya setiap anak berhak mendapat peluang untuk berjaya. Semoga kejayaan kecil hari ini menjadi langkah besar untuk masa depan mereka, dan kami mendoakan agar mereka terus kuat, berani dan tidak pernah berputus asa,” katanya mengakhiri kenyataan.

SINAR ialah sebahagian daripada 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, SINAR memfokuskan kepada lagu-lagu popular era 90-an, menjadikannya pilihan utama pendengar di Malaysia.

Dengan hampir 4 juta pengikut di media sosial, SINAR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama Muzik Retro Terbaik. Selain mendengar melalui frekuensi radio, orang ramai boleh mengikuti SINAR di platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi SINAR melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Real Madrid Terrace Icons T-Shirt

adidas Real Madrid Terrace Icons T-Shirt

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

POP MART Angry Molly - Angry Energy Series Plush Pendant Blind Box

POP MART Angry Molly - Angry Energy Series Plush Pendant Blind Box

POP MART DIMOO Moments in Bloom Series Figures

POP MART DIMOO Moments in Bloom Series Figures

Nike Club T-Shirt - Black

Nike Club T-Shirt - Black

Must-Watch Video

Advertisement