Skip to main content

Berita Tempatan

"Filem Genre Romantik Komedi Masih Ada Pengikut" - Tam Suhaimi

Astro Gempak tam

Sekilas

  • Fantasi Fiksi adalah telefilem romantik komedi yang mengangkat perspektif baharu dan mesej bermakna, diarahkan oleh Tam Suhaimi.
  • Telefilem ini menampilkan empat pemenang trofi Festival Filem Malaysia dan boleh distrim secara eksklusif di platform UTV dengan harga RM9.50.
  • Penerbit UTV yakin karya ini akan mendapat sambutan dan merancang untuk terus menghasilkan karya berkualiti serta menembusi pasaran Indonesia pada masa depan.

Dalam suasana industri yang semakin didominasi filem seram dan aksi, kemunculan Fantasi Fiksi hadir sebagai satu pendirian yang jelas.

Bagi pengarah Tam Suhaimi, genre romantik komedi bukan sekadar pilihan kreatif, tetapi satu bentuk ekspresi yang masih relevan dan mempunyai audiens tersendiri.

Menurut Tam, naskhah ini bukan sahaja mahu menghiburkan, malah mengangkat perspektif baharu tentang bagaimana genre ini sering disalah tafsir sebagai ringan tanpa makna.

“Fantasi Fiksi sebuah karya bergenre romantik komedi. Saya cuba sebuah drama ringan dan sampaikan kisah ini daripada sudut pandangan penulis skrip yang sering hasilkan cerita klise.

"Bila dia berada di dunia seperti yang digambarkan, dia sendiri mengakui tulisannya itu tidak seperti apa yang orang labelkan. Dalam masa sama ada pengajarannya seperti pencarian diri,” katanya.

Bagi Tam, romantik komedi bukan sekadar tentang cinta yang manis dan babak lucu. Ia adalah medium untuk menyampaikan refleksi diri, keberanian dan penerimaan terhadap kelemahan manusia.

Tam turut mengakui bahawa genre ini semakin terpinggir dalam pasaran arus perdana.

“Kalau kita tengok bukan hanya di Malaysia, tapi di Indonesia pun karya yang lebih mendapat perhatian adalah filem seram.

"Sementara di Malaysia karya aksi lebih mendapat tempat. Benda ini agak subjektif dan kalau nak salahkan produser pun, mereka nak berniaga. Tentunya mereka nak filem yang boleh mendapat pulangan.

“Bagi saya genre romantik komedi ini masih ada pengikutnya. Contohnya Gol & Gincu, Pisau Cukur, Istanbul Aku Datang dan cerita-cerita ini sinonim dengan penonton sehingga mereka ingat naskhah ini sampai sekarang.

"TikTok pun ada orang guna sound bait babak-babak filem ini. Genre ini masih boleh mendapat sambutan tapi disebabkan penerbit berasa karya A atau B lebih boleh ‘jual’, mereka terus mengenepikan genre-genre lain sedangkan ada penonton yang merindukan genre romantik komedi ini,” ujarnya.

Fantasi Fiksi menghimpunkan empat pemenang trofi Festival Filem Malaysia (FFM) dalam satu naskhah iaitu Sazzy Falak, yang pernah memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM19 menerusi filem Gol & Gincu; Liyana Jasmay, Pelakon Wanita Terbaik FFM22 menerusi Papadom; Amy Mastura, Pelakon Wanita Terbaik FFM14 menerusi Puteri Impian; serta Sharifah Amani, Pelakon Wanita Terbaik FFM19 menerusi Gubra.

Turut membarisi pelakon ialah Iedil Dzuhrie, Sherry Alhadad, Eyka Farhana, Fara Nadiah, Mustaqim Bahadon dan Luqman Hafidz.

Sementara itu, Penerbit dan Presiden UTV, Datuk Adzliana Hasan, berkata Fantasi Fiksi kini sudah boleh ditonton di platform penstriman UTV pada harga RM9.50 dan yakin naskhah ini akan mendapat tempat dalam kalangan penonton.

“Fantasi Fiksi kini boleh ditonton di platform penstriman UTV dengan harga RM9.50. Kami percaya karya romantik komedi seperti ini sebenarnya mempunyai pengikut tersendiri. Secara peribadi saya juga meminati genre ini dan yakin telefilem ini akan mendapat tempat dengan barisan pelakon yang cukup berbakat besar.

“UTV dalam perancangan untuk menembusi pasaran Indonesia dan bakal ada pengumuman dalam waktu terdekat. Kami juga akan terus menerbitkan karya-karya yang hebat dan berkualiti sepanjang 2026,” katanya.

Dengan gabungan pelakon berpengalaman, premis yang kreatif serta sentuhan pengarahan yang segar, Fantasi Fiksi dijangka mampu mengubat kerinduan penonton terhadap karya romantik komedi yang ringan, menghiburkan dan sarat mesej bermakna. Telefilem ini kini boleh distrim secara eksklusif di UTV.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Adicolor Trefoil T-Shirt - Brown

adidas Adicolor Trefoil T-Shirt - Brown

OHNII CNY Exclusive: Oversized Horse Front Haughty Bear Cotton Jersey Tshirt

OHNII CNY Exclusive: Oversized Horse Front Haughty Bear Cotton Jersey Tshirt

WOSADO Magnetic Lash Set

WOSADO Magnetic Lash Set

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

adidas Real Madrid Terrace Icons T-Shirt

adidas Real Madrid Terrace Icons T-Shirt

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

Must-Watch Video

Advertisement