Sekilas
- Seorang pempengaruh dikenali sebagai Nonstop Dan mendakwa terkandas di Singapura akibat perang di Asia Barat, namun sebenarnya dia menolak untuk terbang kelas ekonomi.
- Video yang dikongsi menunjukkan masih ada tempat duduk kosong pada penerbangan yang didakwa penuh, menyebabkan ramai netizen mempersoalkan kenyataannya.
- Nonstop Dan kemudian menukar tajuk video dan menjelaskan fokusnya adalah gangguan penerbangan yang memberi kesan kepada jutaan pengembara, bukan hanya dirinya sahaja.
Seorang pempengaruh yang mendakwa dirinya terkandas dan tidak dapat menaiki penerbangan kerana perang yang tercetus di Asia Barat sebenarnya menyembunyikan fakta sebenar di sebalik kenyataan yang dibuat.
Menerusi perkongsian kepada lebih satu juta pengikut di media sosial, pempengaruh yang dikenali sebagai Nonstop Dan dan terkenal dengan konten ‘penerbangan’ mendakwa tidak dapat pulang ke Eropah daripada Singapura kerana ruang udara ditutup akibat perang Iran.
Hakikatnya, pemilik nama sebenar Daniel Goz bukan terkandas tetapi menolak untuk menaiki penerbangan dengan duduk di kelas ekonomi, lapor DailyMail.uk.
Menerusi video yang dikongsi dengan tajuk ‘There Are No Flights Left’ (tiada penerbangan), Nonstop Dan mendakwa sedang terkandas di Asia.
Namun pada pertengahan video, pada info grafik, terdapat penerbangan dengan beberapa tempat duduk penumpang masih boleh ditempah pada hari dirinya mendakwa terkandas.
Video tersebut kemudian dibanjiri komen yang mengatakan penggunaan ‘terkandas’ tidak sesuai kerana lelaki itu yang memilih untuk tidak terbang di kelas ekonomi.
Salah seorang pengguna X mencuit: “Saya ketawa selama 15 minit membaca dakwaan Nonstop Don terkandas di Singapura untuk ke Dubai kerana tiada penerbangan sekurangnya selama seminggu.
“Tapi kemudian dia sendiri tunjuk fakta yang sebenarnya tidak mahu terbang dengan duduk di kerusi ekonomi.”
Selepas berdepan banyak kritikan, pempengaruh itu telah mengubah tajuk video kepada ‘Millions Of Travelers Are About To Be Stranded’ (jutaan pengembara akan terkandas) dengan menjelaskan berbuat demikian kerana konten miliknya sudah terbiasa dengan paparan ‘mewah’.
“Saya mendapat banyak kritikan tentang banyak kerusi kosong di kelas ekonomi tetapi apa yang tidak disedari harga untuk penerbangan sehala mencecah $1,500 dan terpaksa ditempah lebih awal.
“Saya nyatakan penerbangan kelas premium kerana inilah konten yang biasa disajikan dalam perkongsian saya.
“Tapi sebenarnya fokus utama dalam video ini adalah bagaimana ‘gangguan’ ini telah membuat banyak penerbangan tergendala sekaligus membuatkan jutaan pengembara, keluarga, pelajar dan orang dalam urusan kerja terjejas sama,” katanya sambil meminta peminat menjaga diri.
Pempengaruh dari Sweden itu memiliki lebih 700 konten video berkaitan servis penerbangan mewah di seluruh dunia.