Skip to main content

Konsert

Cromok & Barbarik Bakal Gegar Pentas Black On White, Tampil Segmen Tribute Khas Untuk Kembara

AstroGempak barbarik

Sekilas

  • Konsert Black On White Cromok-Barbarik pada 27 Jun di IdeaLive Arena akan menggabungkan dua kumpulan rock terkenal dengan konsep penceritaan dan pengalaman konsert yang unik.
  • Segmen tribute khas kepada kumpulan legenda Kembara akan dipersembahkan dengan susunan muzik segar, menampilkan kolaborasi eksklusif antara Cromok dan Barbarik.
  • Konsert ini menggunakan teknologi No Noise Digital Stage untuk persembahan digital sepenuhnya oleh Cromok, manakala Barbarik mengekalkan pendekatan konvensional dengan sokongan mixer digital.

Dua nama besar dalam industri muzik tanah air, Cromok dan Barbarik akhirnya bakal berkongsi pentas menerusi konsert Black On White Cromok-Barbarik Jun ini.

Menggabungkan dua kumpulan berpengaruh dengan identiti muzik yang berbeza, konsert anjuran KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik itu dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti peminat muzik rock tahun ini.

Bukan sekadar persembahan biasa, Black On White tampil dengan konsep tersendiri apabila mengangkat elemen penceritaan dan pengalaman konsert yang lebih menyeluruh buat penonton.

Lebih menarik, peminat bakal disajikan dengan sebuah segmen khas tribute kepada kumpulan legenda Kembara menerusi pendekatan susunan muzik yang lebih segar tanpa merosakkan melodi asal.

Menurut gitaris Barbarik, Jobranko, idea segmen itu tercetus bagi memberi warna berbeza kepada keseluruhan perjalanan konsert selain menghargai kumpulan yang banyak memberi inspirasi kepada mereka sejak zaman remaja.

“Saya memang tak suka buat konsert yang terlalu ‘straight forward’. Bagi saya, orang beli tiket bukan sekadar mahu tengok band main lagu, tetapi mereka mahu sebuah pengalaman.

“Sebelum ini saya pernah berkolaborasi dengan beberapa kumpulan lain, tetapi bersama Cromok cabarannya lebih besar kerana karakter vokal Mus dan Sam sangat berbeza. 

“Jadi kami fikir perlu ada sesuatu yang boleh buat peminat lebih teruja untuk datang menyaksikan konsert ini,” katanya.

Tambah Joe, kedua-dua kumpulan mereka bersepakat memilih lagu-lagu Kembara kerana kumpulan itu mempunyai karya malar segar yang dekat dengan jiwa mereka selain sarat mesej dan nilai kehidupan.

“Kami membesar dengan lagu-lagu Kembara. Banyak lagu mereka sebenarnya underrated walaupun mempunyai lirik dan mesej yang sangat kuat. 

“Jadi kami akan ‘rearrange’ lagu-lagu ini supaya lebih segar dan sesuai dengan energi persembahan Black On White.

“Paling menarik, segmen ini akan menyaksikan Barbarik dan Cromok bergabung dalam beberapa persembahan khas sebagai penghormatan kepada Kembara,” jelasnya.

Sementara itu, Karl Cromok menyifatkan segmen berkenaan sebagai satu perjalanan nostalgia yang diberikan nafas baharu mengikut identiti muzik kedua-dua kumpulan.

“Kembara adalah antara muzik yang kami dengar ketika zaman remaja. Jadi segmen ini ibarat mengimbau kembali kenangan lama, tetapi diberikan sentuhan rock yang lebih moden dan bertenaga,” ujarnya.

Selain segmen tribute Kembara, peminat turut bakal menyaksikan kolaborasi eksklusif antara Cromok dan Barbarik, termasuk persembahan single baharu daripada kedua-dua kumpulan yang akan dipersembahkan secara langsung buat pertama kali.

Dalam pada itu, Karl berkata, konsert berkenaan turut mencipta kelainan tersendiri apabila tampil dengan konsep No Noise Digital Stage yang menggunakan teknologi persembahan digital sepenuhnya.

“Kami menggunakan pendekatan persembahan 100 peratus digital tanpa penggunaan amplifier gitar atau dram akustik di atas pentas. 

“Semua audio dipantau menggunakan sistem digital dan in-ear monitor bagi menghasilkan bunyi yang lebih bersih serta pengalaman audio yang lebih berkualiti kepada penonton,” jelasnya.

Barbarik bagaimanapun masih mengekalkan pendekatan persembahan konvensional mengikut keselesaan dan identiti kumpulan itu sendiri dengan penggunaan monitor wedges serta setup pentas yang lebih organik, namun tetap dibantu penggunaan mixer digital.

Perbezaan pendekatan antara Cromok dan Barbarik itu sekali gus menjadi antara keunikan utama konsert Black On White yang menghimpunkan dua identiti muzik berbeza dalam satu persembahan.

Konsert Black On White Cromok-Barbarik turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures melalui Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik, Dana Persembahan Muzik.

"Kami daripada Karl Legacy juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures diatas sokongan kerajaan yang berterusan kepada pembangunan industri kreatif melalui Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik, Dana Persembahan Muzik.

“Selain itu, kami turut merakamkan penghargaan kepada The Heritage Club dan Royale Chulan Kuala Lumpur atas kerjasama serta penyediaan venue bagi sidang media konsert Black On White Cromok-Barbarik,” ujar Karl.

Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 27 Jun di IdeaLive Arena, 3 Damansara, Petaling Jaya.

Konsert Black On White Cromok-Barbarik menawarkan beberapa kategori tiket dengan harga bermula RM175 bagi CAT 1, RM195 (CAT 2), RM250 (CAT 3), RM350 (CAT 4), RM480 (CAT 5) dan RM998 bagi pakej VIP (CAT 6).

Tiket boleh didapati menerusi laman web MyArteez bagi kategori CAT 1, CAT 2 dan CAT 6, manakala Fantopia pula menawarkan tiket bagi kategori CAT 3, CAT 4 dan CAT 5.

Sempena penganjuran konsert Black On White Cromok-Barbarik, Royale Chulan Damansara turut menawarkan pakej penginapan istimewa eksklusif kepada peminat dengan harga bermula RM238 termasuk sarapan, baucar makanan serta perkhidmatan shuttle percuma dari hotel ke lokasi konsert.

Anda mungkin berminat dengan

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

JOOLA PROTON SELKIRK Pickleball racket surface protective cover, Waterproof, Extremely durable synthetic rubber material

JOOLA PROTON SELKIRK Pickleball racket surface protective cover, Waterproof, Extremely durable synthetic rubber material

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

Advertisement