Sekilas
- Pelancaran koleksi jam tangan edisi terhad Swatch dan Audemars Piguet mencetuskan kekecohan di bandar utama seperti Paris, Milan, dan New York akibat tolak-menolak dan pergaduhan antara pembeli.
- Ratusan peminat sanggup beratur berhari-hari demi mendapatkan koleksi "Royal Pop" yang dijual pada harga sekitar RM1,700 hingga RM1,800 seunit, dengan sesetengah pembeli menjual semula pada harga jauh lebih tinggi.
- Swatch terpaksa menutup operasi di London dan enam bandar lain di UK atas faktor keselamatan selepas ribuan orang berkumpul di hadapan premis mereka, namun pihak Swatch enggan mengulas lanjut mengenai insiden tersebut.
Pelancaran koleksi jam tangan edisi terhad hasil kolaborasi Swatch dan jenama mewah Audemars Piguet (AP) bertukar kecoh apabila berlaku insiden tolak-menolak serta kekecohan di beberapa bandar utama dunia termasuk Paris, Milan dan New York.
Menurut laporan CNA, ratusan peminat sanggup beratur sepanjang malam malah ada yang menunggu selama beberapa hari demi mendapatkan koleksi “Royal Pop” yang dijual pada harga sekitar AS$400 hingga AS$420 (RM1,700 hingga RM1,800) seunit.
Di Perancis, polis dilaporkan melepaskan gas pemedih mata bagi mengawal kira-kira 300 individu yang berkumpul di luar sebuah butik Swatch berhampiran Paris selepas keadaan menjadi tidak terkawal.
Malah, pintu penghadang logam dan pagar keselamatan premis turut mengalami kerosakan akibat kekecohan tersebut.
Situasi sama turut berlaku di Milan apabila pergaduhan tercetus di hadapan butik Swatch sebaik premis dibuka kepada orang ramai.
Sementara itu di New York, seorang pembeli dikenali sebagai John McIntosh berkata suasana di luar butik Swatch di Times Square umpama “mosh pit” apabila berlaku tolak-menolak dalam kalangan pembeli.
“Orang yang baru datang malam tadi boleh tiba-tiba berada di depan.
“Siapa yang paling kuat menolak dan memotong barisan akan dapat masuk dulu,” katanya.
Menurut seorang lagi pembeli dikenali sebagai Mac, dia berjaya mendapatkan jam tersebut selepas lima hari beratur sebelum menjual semula pada harga jauh lebih tinggi.
“Harga asal sekitar AS$400 tetapi saya baru saja jual satu pada harga AS$4,000 (RM17,000),” katanya.
Dalam perkembangan sama, Swatch turut menutup operasinya di London serta enam bandar lain di United Kingdom atas faktor keselamatan selepas ribuan orang berkumpul di hadapan premis mereka.
Bagaimanapun, pihak Swatch enggan mengulas lanjut mengenai insiden tersebut.
Sumber: CNA