Sekilas
- Noki K-Clique mengalami kecederaan mulut berdarah ketika penggambaran filem Tiket Sehala di Korea Selatan akibat kesilapan kecil semasa babak pertarungan.
- Penggambaran dilakukan dalam suhu sejuk -16 darjah Celsius yang menyebabkan cabaran seperti kulit kering dan bibir pecah, namun Noki tetap bersyukur dan tidak serik.
- Filem Tiket Sehala yang menggabungkan pelakon dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan akan ditayangkan pada Ogos 2026 dan mengangkat kisah mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara.
Pelakon dan penyanyi, Noki K-Clique menyifatkan kecederaan yang dialaminga ketika menjalani penggambaran filem terbaharu lakonannya, Tiket Sehala di Korea Selatan sebagai satu insiden yang tidak disengajakan.
Noki yang enggan menyalahkan mana-mana pihak memaklumkan bahawa dia sudah pun melakukan latihan bagi babak pertarungan bersama ‘sparring partner’ namun, kesilapan kecil mengakibatkan bahagian mulutnya berdarah terkena tumbukan.
“Benda dah nak jadi, saya tak tuding jari kepada sesiapa sebab sebelum itu memang kami dah berlatih, cuma mungkin gerakan tersasar hingga dia tertumbuk muka saya dengan kuat.
“Apa pun semua ini asam garam di set, lebih-lebih lagi dalam naskhah aksi yang turut menguji ketangkasan kita sebagai pelakon. Perlu fokus agar tiada kesilapan.
“Bagi saya insiden mulut berdarah sebelum penggambaran tetap diteruskan sebagai pengalaman ‘mahal’. Ini juga peringatan untuk saya kekal fokus,” katanya kepada Gempak.
Pemilik nama Ahmad Ikhwan Aji itu berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis berbuka puasa dan pelancaran filem tersebut di Confetti KL, Seri Kembangan, baru-baru ini.
Bercerita mengenai pengalaman dan cabaran menjalani penggambaran di Korea, Noki memaklumkan bahawa dia perlu beraksi ketika suhu pada paras -16 darjah Celsius sehingga menyebabkan kulit kering serta bibirnya pecah.
“Bayangkan kita dah biasa dengan cuaca panas, di sana kena berlawan dengan musim sejuk yang membuatkan saya berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.
“Sebenarnya itu hanya cabaran kecil kerana saya tak serik dan lebih bersyukur dipilih membintangi naskhah yang menggabungkan pelakon dari empat negara termasuk Indonesia, Thailand dan Korea Selatan.
“Sebulan mengharungi cuaca beku memang terasa ‘homesick’ tetapi saya dikelilingi ramai kawan dari Malaysia dan teman baru yang sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain,” kongsinya lagi.
Selaim Noki, filem ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Sharifah Sakinah, Noki K-Clique, Hasnul Rahmat dan Zaki Yamani.
Lebih menarik, filem terbitan Key Billions Sdn. Bhd. ini turut menggabungkan pelakon dari empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan.
Filem Tiket Sehala yang bakal ditayangkan pada Ogos 2026 ini mengangkat kisah mengenai mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara.