Sekilas
- Datin Seri Shahida berkongsi pengalaman anaknya, Yusoff Al Qardawi, yang disahkan menghidap ADHD sejak kecil dan kini menjalani terapi dua kali seminggu untuk membantu pembelajarannya.
- Yusoff menunjukkan tingkah laku sangat aktif dan lasak, serta tidak takut melakukan perkara berisiko, menyebabkan Shahida mengambil keputusan memindahkan sekolahnya agar lebih sesuai dengan keperluannya.
- Shahida juga mendedahkan dua anaknya yang lain, Ibraheem dan Qadejah, menghidap disleksia dan ADHD, yang dipercayai faktor genetik dari suaminya, Datuk Seri Aliff Syukri.
Isteri kepada usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Datin Seri Shahida berkongsi mengenai keadaan anaknya, Yusoff Al Qardawi yang mempunyai masalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
Menurut Shahida atau nama sebenarnya Nur Shahida Mohd Rashid, anak keempatnya itu mula menunjukkan tingkah laku yang berbeza seawal berusia satu tahun.
“Apabila saya melihat Yusoff, saya sudah dapat rasa dia lain sebab dia sangat aktif dan pada umur satu hingga dua tahun, setiap hari ada benjol di kepala. Dia juga pernah duduk di atas genting rumah, ketika dia berusia lima tahun.
“Dia duduk di tempat tinggi itu seorang diri, katanya dia mahu jadi ‘superhero’. Kolam ikan pun dia terjun sebab dia tak rasa takut dan dia seronok. Jadi bila saya rasa dia berbeza, saya bawa dia berjumpa pakar kanak-kanak dan selepas beberapa ujian dijalankan, dia disahkan menghidap ADHD,” katanya kepada Gempak.
Susulan itu, Shahida mengambil inisiatif dengan menghantar Yusoff menjalani terapi sebanyak dua kali seminggu bagi membantu proses pembelajarannya.
Ujar Shahida, selepas melakukan beberapa sesi terapi, dia dapat melihat perkembangan yang positif selepas menghadiri kelas tersebut sejak awal tahun lalu.
“Saya bawa jumpa pakar pun, sebab Yusoff ada isu di sekolah. Anak yang menghidap ADHD ini tidak suka apabila dirinya ditekan-tekan dan bila ada yang terlalu ramah dengannya, dia tak suka jadi dia menolak dengan cara kasar.
“Perkara itu sudah berlaku beberapa kali dan saya memutuskan untuk keluarkan dia dari sekolah lama dan hantar dia di sekolah yang berdekatan dengan rumah. Dia akan balik awal untuk pergi terapi dan alhamdulillah saya nampak dia kurang lasak sekarang,” katanya lagi.
Shahida berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem pendek ‘Ya Abah saya Security’ di GSC, IOI Mall Damansara, pada Isnin.
Dalam pada itu, Shahida mengakui pada awalnya dia tidak mempunyai pengetahuan yang luas mengenai ADHD sehinggalah dua anaknya terdahulu iaitu Ibraheem dan Qadejah disahkan menghidap penyakit sama serta masalah pembelajaran spesifik iaitu Disleksia.
“Sebenarnya, anak saya, Qadejah dan Ibraheem sebelum ini memang pernah disahkan menghidap disleksia. Mereka pernah bersekolah di sekolah khas untuk disleksia selama lebih kurang enam bulan dan bila sudah okay, baru dipindah ke sekolah biasa.
“Doktor katakan ini adalah masalah genetik dan bila saya tanya suami saya, dia berusia 12 tahun baru dia boleh membaca. Dia keliru kiri dan kanan, kasut terbalik dan sebagainya.
“Jadi bermula dengan Qadejah, saya sudah ada ilmu mengenai ADHD. Bila mereka sebegitu, saya sudah fikir janganlah anak yang lain pun ada ADHD juga dan apabila melihat Yusoff sebegitu, saya cuba menidakkan tapi akhirnya saya kena terima dia mempunyai genetik bapanya kerana Aliff juga ada ADHD,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai Yusoff, Shahida memaklumkan bahawa anaknya itu sentiasa bertenaga dan aktif.
Walau bagaimanapun, ibu kepada enam orang anak itu berkata dia tidak terlalu bimbang susulan perkembangan positif yang ditunjukkan Qadejah dan Ibraheem dalam pelajaran masing-masing.
“Qadejah dan Ibraheem sudah okay bila membesar kerana kita sudah hantar mereka menghadiri terapi. Macam Yusoff, dia tak cepat letih, sentiasa aktif dan kita tak boleh leka, mesti ada seorang yang fokus menjaganya.
“Yusoff juga sangat pandai berenang walaupun saya tak hantar dia menghadiri kelas berenang. Tanyalah gaya apa pun, dia pandai, saya pun tak tahu dia belajar dari mana jadi saya ambil cikgu yang ajar dia berenang. Jadi saya fokus pada benda yang dia suka. Dia sukakan benda yang lasak.
“Saya tak anggap dia kurang upaya, pada saya mereka normal cuba cara mereka belajar berbeza,” kongsinya.
Sekadar info, ADHD adalah gangguan perkembangan neurologi yang membuat seseorang kesulitan untuk berkonsentrasi, hiperaktif, dan memiliki perilaku impulsif.
Terdahulu, Shahida menyorot perhatian apabila berkongsi mengenai Yusoff yang mempunyai masalah ADHD.
Menurut Shahida, Yusoff mempunyai tingkah laku yang sangat aktif atau lasak selain tidak mempunyai perasaan takut dan gemar melakukan perkara yang tak dijangka
Untuk rekod, Shahida dan Aliff mendirikan rumah tangga pada Ogos 2007 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan enam orang cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim.