Sekilas
- Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan menggesa pihak berkuasa agama memantau individu dikenali sebagai 'Coach Cerai' kerana memberi nasihat yang tidak berasaskan undang-undang atau hukum syarak.
- Urusan perceraian dan hal berkaitan undang-undang keluarga Islam hanya boleh diwakili oleh Peguam Syarie berdaftar dalam prosiding Mahkamah Syariah.
- Individu yang memberi nasihat tanpa kelayakan boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda dan penjara mengikut Akta Profesion Guaman Syarie 2019.
Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan menggesa pihak berkuasa agama memantau individu yang dikenali sebagai 'Coach Cerai' kerana beranggapan individu tersebut berisiko untuk mendedahkan orang awam kepada nasihat yang tidak berasaskan undang-undang, hukum syarak atau etika profesional mengenai hubungan dalam rumah tangga.
Menurut Fakhrul Azman Abu Hassan selaku presiden persatuan tersebut, urusan perceraian, rujuk, hak penjagaan anak serta setiap perkara yang berkait rapat dengan undang-undang keluarga Islam seharusnya tertakluk sepenuhnya kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Ujarnya lagi, setiap representasi dalam prosiding Mahkamah Syariah hanya boleh diberikan oleh individu yang layak khususnya Peguam Syarie yang berdaftar.
"Kehadiran individu yang bukan Peguam Syarie dalam prosiding perceraian, termasuk kes berprofil tinggi membabitkan artis, boleh memberi kesan kepada perjalanan kes daripada sudut rujukan dan pemerolehan pandangan yang mengelirukan.
"Individu yang bukan Peguam Syarie tidak mempunyai kelayakan atau autoriti untuk memberi nasihat undang-undang syariah, apatah lagi mencampuri strategi, hala tuju atau keputusan berkaitan prosiding Mahkamah Syariah," katanya.
Merujuk kepada Seksyen 35 Akta Profesion Guaman Syarie 2019, Fakhrul menjelaskan bahawa mana-mana individuyang bertindak atau menyamar sebagai Peguam Syarie, atau memberi nasihat undang-undang syariah tanpa kelayakan, boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda dan hukuman penjara.
"Fenomena 'Coach Cerai' yang semakin tular di media sosial berpotensi merendahkan martabat institusi perkahwinan dan perceraian dalam Islam, mencetuskan salah faham masyarakat terhadap proses Mahkamah Syariah serta mendedahkan orang awam kepada nasihat yang tidak berasaskan undang-undang, hukum syarak atau etika profesional.
"Sehubungan itu, Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan menyeru orang awam supaya mendapatkan khidmat dan nasihat hanya daripada Peguam Syarie berdaftar, selain mengingatkan semua pihak agar tidak mempopularkan amalan yang boleh mengelirukan masyarakat .
"Majlis turut memberi amaran bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang didapati mengganggu amalan guaman syarie atau prosiding Mahkamah Syariah secara salah, selaras peruntukan undang-undang sedia ada," ujarnya.
Sumber: Harian Metro