Sekilas
- Pelakon Datin Atikah Suhaime berkongsi pengalaman sambut hari jadi anak sulungnya bersama anak-anak yatim yang hadir dengan hati gembira dan menerima hadiah istimewa.
- Atikah menegaskan anak-anak yatim tidak merasa cemburu sebaliknya sangat teruja dan positif apabila dijemput ke majlis sambutan seperti itu.
- Beliau mengajak orang ramai supaya tidak ragu-ragu berkongsi rezeki dan meraikan anak-anak yatim tanpa prasangka negatif daripada pihak lain.
Pelakon Datin Atikah Suhaime berasa hairan apabila terdapat pihak yang mempertikaikan ibu bapa menyambut ulang tahun kelahiran anak bersama anak-anak yatim.
Menerusi perkongsian di Instastory, Atikah berkata anak-anak yatim yang hadir di majlis ulang tahun kelahiran puteri sulungnya baru-baru ini pulang dengan hati yang gembira.
“Tak pasti kenapa orang pertikaikan sambut hari lahir dengan anak yatim. Saya ingat mereka akan gembira. Semua pulang dengan ‘hadiah birthday’ bukan goodie bags.
“Semua anak-anak balik dengan hadiah. Termasuk anak-anak tetamu saya. Bila mereka jumpa bouncy castle, memang tak nak balik sampai pukul 10.30.
“Cikgu mereka kena pujuk diorang balik. Tika sempat main kat dalam sebab waktu kecil tak pernah rasa, kali ini Tika dapat juga merasa,” kongsinya.
Dalam masa sama, Atikah menegaskan anak-anak yatim yang hadir tidak mempunyai perasaan cemburu seperti yang didakwa segelintir pihak.
Sebaliknya mereka sangat teruja apabila menerima jemputan untuk menghadiri majlis seperti itu.
“Tika dukung Mulan bukan sebab nak show off kemesraan antara mak dan anak tapi kalau Tika kasi Mulan berjalan, memang jauh la nak kejar dia. Senang sikit dukung, penat kita kejar.
“Sejujurnya, anak-anak semua mereka tak ada pemikiran negatif ‘jealous tengok orang ada mak ayah’. Malah mereka sangat gembira kalau dapat jemput makan kat luar, sambut birthday.
“Anda akan terkejut betapa positifnya mereka semua sebab hati mereka suci. Kalau anda dah biasa buat CSR, anda akan tahu,” katanya.
Dalam pada itu, isteri kepada usahawan Datuk Lokman Teh ini turut berharap orang ramai tidak berasa ragu-ragu untuk berkongsi rezeki dengan golongan tersebut.
“Akhir sekali, Tika harap sangat kalau anda ada rezeki lebih, jemput saja anak-anak ini untuk raikan bersama. Jangan dengar cakap orang ‘oh kesian nanti diorang tengok, diorang sedih’.
“Macam mana anda tahu? Anda tak berada dalam kasut mereka. Percaya cakap saya, mereka sentiasa menantikan seseorang untuk menjemput mereka, bermain, bercakap dengan mereka.
“Paling penting, banyak keseronokan. Tika doakan anda murah rezeki supaya dapat kongsi rezeki bersama-sama,” katanya.
Sebelum ini, suami Atikah iaitu Datuk Lokman Teh terkilan melihat perkongsian seorang wargamaya yang mempertikaikan tindakan ibu bapa meraikan hari lahir di rumah anak-anak yatim.
Menerusi perkongsian individu itu berasakan tidak sesuai ibu bapa menyambut ulang tahun kelahiran anak dalam suasana gembira di hadapan golongan kurang bernasib baik.
Lokman bagaimanapun tampil memberi respon di ruangan komen dengan menjelaskan dia tidak terasa hati, namun berasakan perkara tersebut tidak wajar dijadikan isu.